HomeUtamaJentera Srikandi terus diperkasakan hadapi PRU15 - Hajiji

Jentera Srikandi terus diperkasakan hadapi PRU15 – Hajiji

Read Time:1 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menggesa seluruh jentera Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah terus diperkasakan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangka tidak lama lagi.

Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, berkata walaupun parti ini termasuk Srikandi dan Armada sentiasa bersedia tetapi ia perlu diperhebatkan lagi.

“BERSATU di Sabah sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya dan jentera pilihan raya kita sentiasa aktif memandangkan kita baharu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

“Saya juga dimaklumkan bahawa jentera Srikandi sudah mengadakan jelajah mereka di kawasan masing-masing. Justeru saya mengarahkan Srikandi agar terus memperkasakan gerak kerja di kawasan Parlimen masing-masing,” katanya sempena Majlis Malam Mesra Srikandi Malaysia bersama Ketua Menteri Sabah di sini, malam tadi.

Mengenai majlis itu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), berharap ia dapat mengeratkan lagi dan saling berkongsi pengalaman dalam kalangan Srikandi BERSATU Sabah serta Semenanjung khususnya untuk menghadapi PRU15 ini.

Dalam pada itu, Hajiji berkata banyak kejayaan yang dicapai sejak Kerajaan Negeri GRS-BN menerajui negeri ini.

“Pada tahun lalu, Sabah mencatat hasil kutipan negeri berjumlah RM5.4 bilion, walaupun dalam keadaan pandemik dan politik yang tidak stabil terutamanya di peringkat Persekutuan.

“Mungkin tahun ini hasil negeri akan bertambah lagi dan semua ini adalah hasil dasar yang kita perkenalkan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) selain perpaduan dalam mencapai kejayaan ini,” katanya sambil menambah nilai pelaburan pula sepanjang Januari hingga September adalah sebanyak RM9.9 bilion.

Majlis turut dihadiri Ketua Srikandi Malaysia, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Penolong Setiausaha Srikandi BERSATU Sabah, Datuk Redonah Bahanda dan Ketua Armada BERSATU Sabah, Fairuz Renddan.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerjasama SPSB, DPW menjadikan Sabah sebagai hab transhipment

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya