SUKMA XX : Sabah kedua terbaik olahraga dengan pencapaian pingat melebihi sasaran

Read Time:2 Minute, 27 Second

KUALA LUMPUR: Skuad olahraga Sabah menamatkan cabaran dengan tambahan satu pingat emas; lima perak dan satu gangsa pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Pingat emas tunggal itu dirangkul Benedict Ian Gawok dalam acara 110m lari berpagar lelaki dengan catatan 14.40s, acara yang turut menyaksikan pingat perak milik Sabah menerusi Muhammad Ridzwan Ridal (14.49s). Pingat gangsa dimenangi Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau (Johor: 14.85s)

Empat lagi pingat perak dimenangi Mohd Alif Mohd Razi dalam acara merejam lembing lelaki, Hizillawanty Jamain (1500m wanita), Nur Aishah Rofina Aling (200m wanita) dan Feova Lim Yi Fei (lompat jauh wanita).

Lompatan Feova dalam acara lompat jauh wanita yang menghasilkan pingat perak untuk Sabah.

Pingat gangsa dimenangi kuartet 4x400m wanita yang dianggotai Petronella Lisong, Hizillawanty, Chelsea Cassiopea Evali Bopulas dan Camellia Jasten.

Mohd Alif mencatat rejaman 59.59m untuk pingat perak. Pingat emas dimenangi Syed Abrar Syed Ahmad Zawawi (Perak: 60.00m) manakala gangsa dimenangi Ng Yong Jie (Johor: 57.31m).

Pemenang pingat perak acara merejam lembing, Mohd Alif (kiri) bersama pemenang lain semasa upacara penyampaian hadiah.

Hizillawanty menang perak acara 1500m dengan catatan 4:53.29s. Pingat emas dimenangi Padhmaloshini Jayaseelan (Johor: 4:44.72s) dan gangsa dimenangi Puspa Letchumy Jaintheran (Johor: 4:59.17s).

Nur Aishah pula menang perak acara 200m wanita dengan catatan 25.14s. Pingat emas dimenangi Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal (Selangor: 24.83s) manakala gangsa dimiliki Darshini Murugan (Pahang: 25.74s).

Pingat perak Feova dalam acara lompat jauh pula dicapainya dengan catatan lompatan 5.71m. Pingat emas dimenangi Nurul Ashikin Abas (Perak: 5.77m) manakala gangsa dimiliki Nurul Isma Osman Rani (Melaka: 5.34m).

Sambil itu, hasrat Sabah selaku pilihan utama untuk mengungguli acara 4x400m wanita tidak kesampaian apabila sekadar menang gangsa dengan catatan 3:56.43s.

Dalam acara itu, Sabah jauh mendahului tetapi pelari keempat, Camelia gagal bertahan apabila dipintas pada 30m terakhir oleh pasukan Wilayah Persekutuan yang menang emas acara itu dengan catatan 3:55.49s dan Johor yang meraih pingat perak dengan catatan 3:56.19s.

“Bukan hari kami, kami tahu bahawa pasukan lain juga kuat terutamanya Wilayah Persekutuan. Ia hanya bukan rezeki kami. 

“Kami telah cuba yang terbaik. Tiada siapa yang perlu dipersalahkan atas kekalahan ini kerana semuanya kami bertanggungjawab sebagai satu pasukan” kata Chelsea yang turut terlepas peluang merangkul emas hatrik sebagai tambahan kepada pingat emas acara 400m dan 4x100m yang dimenanginya sebelum ini.

Bagaimanapun, semua pingat yang dimenangi skuad olahraga hari ini adalah bonus kerana mereka sudahpun melepasi sasaran lima pingat emas kelmarin. 

Keseluruhannya, skuad olahraga Sabah menyumbangkan tujuh pingat emas, lapan perak dan tiga gangsa iaitu pencapaian kedua terbaik di kalangan 15 pasukan yang bertanding.

Johor di kedudukan teratas dengan sembilan pingat emas, enam perak dan tujuh gangsa manakala di belakang Sabah ialah Sarawak dengan lima emas, empat perak dan enam gangsa.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.