KUALA LUMPUR: Sabah terus menyerlah menerusi skuad olahraga dengan mendominasi acara akhir 110m lari berpagar lelaki pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini pagi tadi.
Pingat emas yang dimenangi Sabah adalah menerusi Benedict Ian Gawok dengan catatan 14.40s manakala rakan sepasukannya, Muhammad Ridzwan Ridal mencatat 14.49s untuk pingat perak. Pingat gangsa dimenangi peserta Johor, Muhammad Hazriq Cik Mat Kilau (14.85s).
Catatan Benedict itu bagaimanapun lebih perlahan daripada catatan 14.33s yang dilakukannya pada pusingan separuh akhir semalam.
Benedict berkata, beliau percaya mampu untuk membuat catatan lebih dalam acara akhir itu tetapi digagalkan oleh sedikit kesilapan terlanggar pagar keenam yang menyebabkan momentumnya ‘lari’.
“Apapun saya gembira menamatkan larian sebagai juara terutama ini adalah SUKMA terakhir saya,” kata pelari berusia 23 tahun itu dan merupakan SUKMA ketiga yang disertai Benedict.
Pada SUKMA 2016 di Sarawak, beliau kecewa kerana melakukan permulaan yang batal manakala SUKMA 2018 Perak, beliau hanya menang pingat perak.
“Saya amat gembira kerana akhirnya menang emas pada penyertaan terakhir saya di SUKMA ini,” kata Benedict sambil berterima kasih kepada jurulatihnya, Rayzam Shah Wan Sofian yang menjadi tulang belakang di sebalik kejayaannya itu.
Benedict berkata, beliau sebelum ini berlatih sendiri dan hanya menjalani latihan khusus persiapan menghadapi SUKMA bersama Rayzam kira-kira dua minggu.
“Kalau ada persiapan lebih rapi dan lama, saya percaya mampu mencatat 14.00s atau lebih pantas dari itu,” kata Benedict.
Beliau juga mensasarkan tempat ke Sukan Sea tahun depan.
Sementara itu, Rayzam berkata, selain pingat emas, mereka juga sasarkan Benedict lepasi masa kelayakan ke Sukan SEA iaitu 14.29s untuk kategori B dan 13.99s untuk kategori A.
Rayzam yang juga bekas jaguh kebangsaan acara itu tetapi telah bersara tahun lalu adalah pemegang rekod kebangsaan 13.67s.
“Saya gembira kerana súdah ada pengganti yang berpotensi pergi lebih jauh. Selain Benedict dan Ridzwan…kita ada lagi atlet muda (dari Sabah) berpotensi besar dalam acara ini,” katanya.
Sambil itu, ia adalah pingat emas ketujuh buat skuad olahraga yang sudahpun melepasi sasaran lima pingat emas semalam.
Acara sukan olahraga berakhir petang ini dengan Sabah dijangka menambah beberapa lagi pingat.