HomeSukanSUKMA XX : Nevern pertahan pingat emas perseorangan tenpin boling

SUKMA XX : Nevern pertahan pingat emas perseorangan tenpin boling

Read Time:1 Minute, 54 Second

KUALA LUMPUR: Skuad tenpin boling Sabah memulakan cabaran dengan memenangi satu pingat emas menerusi Nevern Netaneel Marcellinus dalam acara perseorangan lelaki pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 di Sunway Mega Lanes, Subang hari ini.

Turun selaku juara bertahan, Nevern tenang mengharungi cabaran sengit sehingga ke permainan pusingan terakhir untuk keluar sebagai pemenang.

Nevern mencatat 1,276 jatuhan pin untuk menang tipis ke atas Danial Haiqal Izwan Suhardi (Pahang) yang mencatat 1,270 jatuhan pin. Pingat gangsa dimenangi Hariz Adlan Azman (Pulau Pinang: 1,249 jatuhan pin).

Pengurus pasukan Rozzainy Sham  Talip berkata, ia adalah pertarungan sengit dan mendebarkan di mana penentuan kemenangannya sehingga ke pusingan terakhir.

“Nevern berjaya mengharunginya dengan baik dan kekal tenang untuk membuat catatan baik.  Kemenangan ini sangat menggembirakan dan melegakan,” katanya.

Menurutnya, Sabah mengharapkan untuk meraih dua pingat emas pada  hari ini,  satu lagi dalam acara perseorangan wanita di mana mereka diwakili lima pemain termasuk juara bertahan Nurul Alyssa Junaidi.

Bagaimanapun Nurul Alyssa hanya mampu menduduki tangga ke-16 dengan 1,102 jatuhan pin. Catatan terbaik Sabah adalah menerusi Cara Loh Wai Theng dengan 1,165 jatuhan pin tetapi sekadar meletakkannya di kedudukan ketujuh.

Pingat emas dan perak acara itu dimenangi pemain Sarawak, Lavinia Kho Jia Jie (1,271 jatuhan pin) dan Nur Hzirah Ramli (1,268) manakala pingat gangsa milik  Nur Nais Falilnesa Isman (Selangor: 1,263).

“Kami akan kembali untuk cuba dapatkan emas kedua apabila saingan disambung esok,” kata Rozzainny.

Tenpin Bowling menawarkan dua lagi emas menerusi acara beregu lelaki dan wanita esok.

Sambil itu, pingat emas daripada Nevern serta sumbangan satu emas, lima perak dan satu gangsa dari skuad olahraga menyaksikan Sabah mengumpul 13 pingat emas, 12 perak dan 11 gangsa setakat jam 9.00 malam ini.

Ia meletakkan Sabah di kedudukan kedua carta kutipan pingat dengan Johor terus kekal mendominasi selepas merangkul 29 pingat emas, 18 perak dan 13 gangsa.

Di belakang Sabah dalam kelompok lima pasukan teratas ialah Terengganu dengan mengutip 12 emas; 14 perak dan 10 gangsa.

Ia diikuti Wilayah Persekutuan (10 emas; 12 perak dan 18 gangsa) dan Pulau Pinang (10 emas; 18 perak dan 16 gangsa)

Sebanyak 41 pingat emas lagi ditawarkan esok iaitu jumlah terbesar yang ditawarkan dalam sehari sukan terbesar negara yang dijadualkan berlangsung sehingga 24 September itu.

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah FC beraksi tanpa 6 pemain utama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular