HomeUtamaKSTI terus perkasa peranan PNS tarik minat pelajar ikuti Sains dan Teknologi

KSTI terus perkasa peranan PNS tarik minat pelajar ikuti Sains dan Teknologi

Read Time:1 Minute, 22 Second

KOTA KINABALU : Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah akan terus memperkasakan lagi peranan Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) khususnya dalam menarik minat pelajar mengikuti bidang sains dan teknologi.

Setiausaha Tetap KSTI Zainudin Aman berkata, ini termasuklah berusaha untuk mewujudkan sudut Sains dan Inovasi dibeberapa Perpustakaan di negeri ini.

“Alhamdulillah, baru-baru ini kita telah pun diberikan peruntukan bagi membina sebuah Pusat Sains dan Inovasi di PNS Cawangan Sandakan.

“Kerja-kerja permulaan bagi membina pusat berkenaan juga telah dimulakan. Saya berharap ianya akan menjadi sebagai salah satu tempat anak-anak kita melihat bagaimana kepentingan Sains dan Teknologi dalam kehidupan seharian kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Pesta Buku Kinabalu yang berlangsung selama empat hari berakhir semalam di PNS Cawangan Tanjung Aru di sini.

Terdahulu, Zainudin mewakili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan.

Zainudin berkata, jumlah pelajar yang melanjutkan pengajian dalam bidang Sains di negeri ini dilihat menurun berbanding tahun-tahun sebelumnya iaitu daripada 27 peratus menurun kepada 20 peratus.

“Ini sangat membimbangkan. Kita ingin memastikan bahawa kita mempunyai modal insan yang mempunyai kemahiran yang tinggi dalam teknikal, Sains dan Teknologi.

“Mudah-mudahan jumlah pelajar atau pun pelajar yang mengambil dalam bidang Sains dan Teknologi ini akan bertambah dari masa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, ketika membacakan teks ucapan Yakub, beliau berkata, usaha mengadakan pesta buku ini adalah amat wajar ketika masyarakat mulai melangkah perlahan-lahan ke fasa endemik.

“Usaha ini serba sedikit dapat membantu menjana semula ekonomi khususnya dalam kalangan penulis dan penerbit buku tempatan.

“Ketika pandemik Covid-19 melanda negara baru-baru ini, kita tahu ramai penulis serta penerbit yang terjejas sumber pendapatan masing-masing,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

MAN berperanan jaga adat resam, keharmonian penduduk kampung

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular