SUKMA XX : Gimnastik Artistik lelaki Sabah lakar sejarah menang pingat perak

Read Time:1 Minute, 19 Second

KUALA LUMPUR: Skuad Gimnastik Artistik Sabah melakar sejarah apabila berjaya memenangi pingat perak dalam acara berpasukan lelaki pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 yang diadakan di Gimnasium 3, Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini lewat petang semalam.

Skuad bimbingan Azri Omar yang dianggotai Abd Izzat Daniel Abd Rauf, Ammar Zafi Mohd Firdaus @ Silvester, Brandon Denoley Luise, Charlie Richie Chong, Jacob Hezron Andreas dan Liew Jun Xiang itu berjaya mengumpul 262.450 mata.

Pingat emas dimenangi Pulau Pinang dengan kutipan mata 282.300 manakala pingat gangsa milik Johor  (260.250 mata).

Ia adalah pencapaian terbaik skuad gimnastik Sabah dalam sejarah penyertaannya di SUKMA di mana sebelum ini mereka hanya pernah menang pingat gangsa dalam acara sama pada 1996, 2010 dan 2018.

“Pasukan lelaki kita berjaya melakar sejarah dalam acara berpasukan, ia adalah pingat perak pertama Sabah dalam acara ini di SUKMA,” kata jurucakap skuad gimnastik Sabah, Liew Tong Ee yang juga jurulatih pasukan wanita.

Tong Ee berkata, pasukan wanita kurang bernasib baik untuk memburu pingat pada hari pertama pertandingan sukan itu Sabtu lalu apabila ada atletnya mengalami kecederaan.

Menurutnya, masalah kecederaan lutut yang dialami Jennisia Jiniol menghadkan keupayaan pasukan memburu pingat dalam acara berpasukan.

“Ia adalah masalah kecederaan lama, masalah kecederaan lutut. Ia menyebabkan pasukan wanita kita ini tidak dapat beraksi ditahap sebenar walaupun mereka telah mencuba yang terbaik,” kata Tong Ee.

Pertandingan acara sukan gimnastik berakhir hari ini dengan tawaran 10 pingat emas.

Sambil itu pingat yang dimenangi pasukan Gimnastik Artistik lelaki itu menjadikan jumlah keseluruhan kutipan pingat Sabah sehingga 18 September ialah 13 emas, 13 perak dan 13 gangsa.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.