HomeSukanSUKMA XX : Yie Bing terus menyerlah di kolam renang, rangkul dua...

SUKMA XX : Yie Bing terus menyerlah di kolam renang, rangkul dua lagi pingat emas

Read Time:2 Minute, 43 Second

KUALA LUMPUR: Loo Yie Bing terus menyerlah di kolam renang apabila berjaya merangkul dua lagi pingat emas pada hari ini untuk menjadi individu penyumbang pingat emas terbanyak bagi kontinjen Sabah pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 setakat ini.

Pertandingan renang yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil hari ini menyaksikan Yie Bing menang pingat emas dalam acara 100m gaya bebas wanita dan 50m kuak kupu-kupu iaitu pingat emas kedua dan ketiganya selepas pingat emas pertama dalam acara 200m gaya bebas kelmarin.

Dalam acara 100m gaya bebas pada hari ini, perenang berusia 15 tahun itu menepati statusnya sebagai pilihan utama apabila muncul juara dengan catatan 57.64s, kurang 0.08s dari rekod kebangsaan miliknya sendiri.

Pingat perak dan gangsa dimenangi perang Sarawak, Leong Wan Wei (59.14s) dan Kelly Teo Yao (59.27s).

Dalam acara 50m kuak kupu-kupu, Yie Bing merangkul emas dengan catatan 28.38s meninggalkan Lim Shun Qi (Selangor: 28.67s) di tempat kedua dan Ho Keesha (Pulau Pinang: 28.97s) di tempat ketiga.

Presiden Persatuan Akuatik Sabah (SASA), Daniel Lee berkata, hari ini adalah hari terbaik Sabah di kolam renang kerana selain menang dua emas acara renang, Sabah juga menang satu pingat emas dan satu gangsa dalam acara terjun.

Selepas dua hari pertandingan, skuad akuatik Sabah (renang dan terjun) sudah menyumbangkan empat emas dan dua gangsa.

“Kami gembira dengan tambahan pingat yang dimenangi hari ini, skuad renang dan terjun mempamerkan pencapaian baik setakat ini.

“Kami akan cuba menang lebih banyak pingat emas dan untuk itu, kami kena terus berusaha cuba beri yang terbaik,” kata Lee ketika dihubungi.

Esok, acara renang menawarkan tujuh lagi pingat emas manakala acara terjun dua emas.

Sambil itu, harapan Sabah untuk mencuri satu dari empat pingat emas yang ditawarkan dalam acara angkat berat di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya hari ini tidak kesampaian apabila sekadar meraih satu perak dan satu gangsa.

Nilcy Tunik yang disandarkan emas hanya meraih pingat perak dengan angkatan keseluruhan 129kg dari 54 angkatan snatch dan 75 angkatan clean and jerk kategori 49kg wanita.

Nilcy melakukan angkatan yang menghasilkan pingat perak kategori 49kg wanita.

Pingat emas dimenangi Nurul Syasya Khairina Samsur (Melaka: 134kg) manakala gangsa milik Norainnajmina Rahimi (Terengganu: 101kg).

Sebelum itu, Fendylina Adim menyumbangkan pingat gangsa dalam kategori 45kg wanita dengan angkatan keseluruhan 115kg (50kg snatch dan 65kg clean and jerk).

Pingat emas dimenangi Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri (Terengganu: 135kg) manakala pingat perak milik Qistina Qharisya Suffia Mohd Muzani (Perak: 116kg).

Skuad berbasikal pula menyumbangkan pingat perak menerusi Lim Chun Kiat dalam acara 4km individu lelaki. Chun Kiat tewas kepada Abdul Azim Aliyas dari Negeri Sembilan.

Sementara itu skuad judo dan skuasy masing-masing menyumbangkan satu pingat gangsa. Angelina Choi E-Ann dan Choi E-Faye raih gangsa dalam acara kata Ju No wanita (judo) manakala Lai Wen Li menang gangsa acara perseorangan wanita skuasy.

Lima pingat emas, tiga perak dan empat gangsa yang dimenangi setakat jam 8.30 malam ini menjadikan jumlah keseluruhan kutipan pingat Sabah kepada 19 pingat emas, 16 perak dan 17 gangsa untuk berada di kedudukan kelima.

Lima kelompok teratas carta kutipan pingat terus didominasi kontinjen Johor dengan 50 pingat emas, 31 perak dan 21 gangsa, diikuti Terengganu (26emas;26perak dan 24 gangsa); Wilayah Persekutuan (22emas; 31perak dan 33gangsa) dan Pulau Pinang (20emas; 12perak dan 31gangsa).

RELATED ARTICLES
Sukan

Piala Malaysia : Sabah FC waspada bertemu pasukan bekas ‘Ketua Kampung...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular