HomeUtamaKerajaan setuju agar Pewartaan TKPM dikekalkan

Kerajaan setuju agar Pewartaan TKPM dikekalkan

Read Time:2 Minute, 27 Second

PUTRAJAYA : Kerajaan bersetuju secara dasar agar Kerajaan Negeri mengekalkan pewartaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan mewartakan TKPM yang belum diwartakan serta menyediakan peruntukan penyelenggaran TKPM.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam satu kenyataan bagaimanapun berkata, ianya adalah tertakluk kepada kelulusan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri masing-masing.

Perkara itu dinyatakan menerusi Mesyuarat Bersama Exco-Exco Pertanian Negeri secara hibrid di Wisma Tani di sini semalam yang dipengerusikan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee.

Mesyuarat itu juga bersetuju dengan penubuhan dan terma rujukan Jawatankuasa Pembangunan Tanah Pertanian Peringkat Daerah sebagai platform memudah cara pembangunan tanah milik persendirian secara terancang bagi tujuan aktiviti pertanian.

“Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah dan diselaraskan oleh Pejabat Daerah dan Tanah dengan dianggotai pelbagai jabatan/agensi di peringkat daerah.

“Kedua-dua persetujuan yang dicapai ini menyokong hasrat Kementerian untuk memperkukuh sinergi dengan Kerajaan Negeri bagi menjamin sekuriti bekalan makanan negara,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha MAFI, Exco-Exco Pertanian daripada 13 Negeri, wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pegawai Kanan serta Ketua Jabatan dan Agensi MAFI.

Agenda mesyuarat kali ini merangkumi lima pembentangan, iaitu dua Kertas Pertimbangan dan tiga Kertas Makluman.

Kertas pertimbangan yang dibentangkan termasuk Cadangan Pewartaan, Penyelenggaran dan Pemodenan TKPM serta Cadangan Penubuhan dan Terma Rujukan Jawatankuasa Pembangunan Tanah Pertanian Peringkat Daerah sebagai usaha bersepadu bagi mengoptimumkan tanah pertanian sedia ada dan belum dibangunkan dalam meningkatkan pengeluaran makanan negara.

MAFI berkata, selain itu, Mesyuarat turut mengambil maklum status sekuriti bekalan makanan negara yang diunjur kekal stabil dan mencukupi khususnya bagi lapan komoditi utama iaitu beras, daging ayam, daging lembu/kerbau, telur, susu segar, ikan, buah dan sayur.

Dalam mesyuarat tersebut, Agrobank telah membentangkan kemudahan-kemudahan pembiayaan bagi golongan sasar yang terlibat dalam aktiviti di sepanjang rantaian nilai agromakanan termasuk pengeluaran input, tanaman, perikanan, ternakan, industri makanan dan agropelancongan serta aktiviti sokongan seperti pemasaran dan penghantaran makanan.

MAFI memaklumkan secara keseluruhannya, sebanyak RM1.375 bilion telah diperuntukkan oleh Agrobank bagi tujuan dana pembiayaan melalui pelbagai kemudahan pembiayaan yang boleh dipohon oleh golongan sasar.

Mesyuarat juga mengambil maklum mengenai Kajian Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara yang dilaksanakan oleh PLANMalaysia.

“Antara penemuan utama kajian tersebut termasuk keperluan mengekalkan keluasan kawasan pengeluaran makanan 10 peratus bagi guna tanah sumber makanan negara.

“Ini setelah mengambil kira hasil kajian yang menunjukkan 19 peratus pengurangan keluasan tanah pengeluaran makanan yang berterusan dan 62 peratus kawasan pengeluaran makanan terdedah kepada risiko bencana,” katanya.

Mesyuarat turut membincangkan hala tuju keputusan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-139 berkaitan cadangan sinergi antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri bagi pengukuhan sekuriti bekalan makanan negara. Pelbagai platform sedia ada dan baharu akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi melaksanakan keputusankeputusan tersebut.

MAFI melalui kerjasama strategik dan kolaborasi berterusan dengan Kerajaan Negeri akan memperkasa sektor agromakanan negara untuk meningkatkan sekuriti bekalan makanan demi kesejahteraan pengeluar makanan dan keseluruhan Keluarga Malaysia selari dengan aspirasi Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0).

RELATED ARTICLES
Utama

Kerjasama SPSB, DPW menjadikan Sabah sebagai hab transhipment

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya