KOTA KINABALU : Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) akan menganjurkan konvensyen dakwah awal tahun depan.
Presidennya, Datuk Ahmad Azam Abd Rahman berkata, konvensyen yang julung kali diadakan di Sabah itu akan memberi peluang secara percuma kepada umat Islam untuk menambah ilmu pengetahuan.
“Tujuan konvensyen dakwah ini adalah untuk memberi kesedaran kepada umat Islam tentang pentingnya meningkatkan kualiti diri agar tidak terpesong dari ajaran agama Islam.
“Selain itu, WADAH juga akan menganjurkan beberapa program untuk anak yatim dan program dakwah pendidikan kerana program seperti ini penting dalam memperkasa umat Islam di seluruh negara, termasuk di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi WADAH Sabah, Abdul Manap Mahmud dan Setiausaha Agung WADAH Malaysia, Dr Muhamad Razak Idris.