SUKMA XX : Yie Bing raih emas keempat buat skuad renang Sabah

Read Time:1 Minute, 8 Second

KUALA LUMPUR: Loo Yie Bing mencatat penamat sebagai pemenang pingat emas untuk skuad renang Sabah pada hari terakhir pertandingan renang temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Yie Bing membuat renangan emas dalam acara 50m gaya bebas wanita untuk pingat emas keempat peribadi dan skuad renang Sabah sekaligus meletakkan atlet berusia 15 tahun itu antara penyumbang utama pingat emas kontinjen Sabah. 

Yie Bing menjuarai acara 50m gaya bebas dengan catatan 27.07s meninggalkan pingat perak untuk atlet Sarawak, Leong Wan Mei (27.57s) dan gangsa buat Yap Inn he (Wilayah Persekutuan: 27.79s).

Sebelum ini Yie Bing juga menang pingat emas dalam acara 100m dan 200m gaya bebas serta 50m kuak kupu-kupu.

Keseluruhannya, skuad renang meraih empat pingat emas, dua perak dan tiga gangsa untuk berada di kedudukan kelima terbaik dalam sukan renang. Sukan terjun pula menang dua pingat emas dan dua gangsa. 

Presiden Persatuan Akuatik Sabah (SASA), David Lee berkata, ia merupakan pencapaian yang baik buat skuad renang Sabah di SUKMA selain mencatat beberapa keputusan terbaik. 

“Saya ingin ucapkan terima kasih terhadap komitmen semua pihak termasuk jurulatih-jurulatih dan ibubapa atlet.

“Tidak lupa kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah dan Majlis Sukan Negeri Sabah, harap-harap kami akan terus nikmati kerjasama bagi menghadapi SUKMA akan datang.

“Pada SUKMA ini, kami sangat gembira dengan pencapaian skuad akuatik,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.