HomePolitikSabah tidak bubarkan DUN jika Parlimen dibubarkan tahun ini

Sabah tidak bubarkan DUN jika Parlimen dibubarkan tahun ini

Read Time:2 Minute, 2 Second

SANDAKAN: Sabah tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Parlimen dibubarkan kerana DUN Sabah masih mempunyai tempoh tiga tahun lagi untuk berkhidmat penggal penuh.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dikhabarkan (DUN) Sabah juga akan dibubarkan sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen tahun ini.

“Tetapi, semua cakap-cakap ini tidak benar kerana kita masih ada tiga tahun lagi untuk mentadbir Sabah.

“Apa yang penting ialah kita perlu terus memperkukuh Gabungan Rakyat Sabah (GRS), gabungan yang mewakili rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah GRS Parlimen Batu Sapi yang diadakan di Flat Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) Kampung Lupak Meluas Darat di sini hari ini.

Kerajaan Negeri GRS-Barisan Nasional (GRS-BN) akan  menyambut ulang tahun kedua esok.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, pelbagai pihak mendakwa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan pada Oktober ini dan ada yang mengatakan ia akan diadakan tahun depan namun GRS telah bersedia menghadapi PRU15.

Katanya, semua parti komponen dalam GRS telah bersetuju untuk menggunakan simbol GRS dalam pilihan raya parlimen yang akan datang.

“Semua parti dalam GRS termasuk Parti Bersatu Sabah dan STAR telah bersetuju untuk menggunakan simbol GRS dalam pilihan raya.

“Insya-Allah, kita akan muncul sebagai pemenang dalam pilihan raya parlimen ini,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, kedua-dua GRS dan BN telah berikrar untuk bekerjasama membangunkan Sabah dan membawa kemajuan kepada rakyat.

“Jika calon Batu Sapi (kerusi parlimen) dipilih daripada GRS, kita tahu BN juga akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan dan begitu juga jika calon BN dipilih, GRS akan bekerja keras untuk memastikan calon itu menang kerana kita adalah GRS-Kerajaan BN.

“Kita mesti belajar daripada kesilapan politik masa lalu. Cukuplah kita tidak perlu berpecah dan berpecah belah lagi,” katanya.

Beliau berharap agar dapat terus bekerjasama dengan sebaik mungkin dan membawa Sabah ke haapan selaras dengan slogan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Hajiji turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri GRS-BN akan menangani semua isu yang melanda penduduk di Batu Sapi seperti status penempatan setinggan.

“Saya telah berbincang dengan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun untuk meneliti isu itu dan jika boleh mewartakan penempatan setinggan itu sebagai rizab kampung,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun, wakil presiden parti komponen GRS masing-masing, ahli majlis tertinggi GRS Datuk Dr Mohd Arifin Arif, ketua GRS Batu Sapi Firdaus Khan dan wakil rakyat.

RELATED ARTICLES
Utama

Ubah suai tangki minyak, gagal lapor pertukaran nakhoda, dua buah bot...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular