HomeUtamaMembangunkan modal insan adalah satu kewajipan dan keperluan dalam menghadapi era globalisasi...

Membangunkan modal insan adalah satu kewajipan dan keperluan dalam menghadapi era globalisasi masa kini – Hajiji

Read Time:2 Minute, 13 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) memberi fokus kepada pembangunan modal insan yang merupakan aset dalam menentukan masa depan negara pada masa akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, membangunkan modal insan adalah satu kewajipan dan keperluan dalam menghadapi era globalisasi masa kini.

Menurutnya, agensi Islam Negeri Sabah bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan terus memperkasa Pembangunan Pendidikan Islam khususnya program Kelas Al Quran dan Fardlu Ain (KAFA) di Sabah bagi memastikan generasi muda terus mendapat peluang pendidikan terutama dalam bidang Al-Quran dan Fardlu Ain.

“Dalam mendepani tranformasi pendidikan yang semakin kompleks dan mencabar, pemerkasaan dalam membangun dan memperkukuh sistem pendidikan Islam khususnya program KAFA yang memfokuskan pendidikan rendah juga harus maju ke hadapan.

“Pihak-pihak yang terlibat dalam tadbir urus pendidikan perlu berfikiran kreatif dan kritis untuk mengejar perubahan demi perubahan seiring pendidikan arus perdana”, katanya ketika merasmikan penutupan Multaqa Guru KAFA Negeri Sabah Tahun 2022 anjuran.JAKIM di Dewan Tun Sakaran, Hotel Raia di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Hajiji berkata, peranan guru-guru KAFA amat besar dan penting dalam membentuk generasi pelapis yang berilmu, beriman, berakhlak serta beramal dengan gaya hidup Islam.

“Sementara semua pihak seperti ibu bapa, guru, masyarakat dan kepimpinan di setiap peringkat perlu mengambil bahagian dalam merealisasikan hasrat tersebut,” tambahnya.

Menyentuh Skim Pinjaman Buku Teks yang akan diberikan secara percuma kepada murid-murid KAFA di Negeri Sabah, beliau berharap melalui bantuan itu akan menjadikan sesi pengajaran dan pembelajaran lebih efektif, guru-guru KAFA akan dapat mengajar dengan lebih mudah, murid-murid akan lebih tekun dan bersemangat dalam mempelajari ilmu agama di kelas-kelas KAFA khususnya di negeri ini.

Beliau optimis, Kerajaan Persekutuan akan terus prihatin dan komited terhadap keperluan dan kebajikan warga KAFA seluruh Malaysia dan tidak ada yang dibelakangkan atau diketepikan.

“Ia sejajar dengan salah satu nilai yang dibawa dalam semangat Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera iaitu “Keterangkuman” yang mana menjadikan prinsip keadilan sebagai teras pengukuhan Keluarga Malaysia”, jelasnya.

Sehubungan itu, Hajiji mahu apa juga masalah atau cabaran yang dihadapi oleh guru-guru KAFA di negeri ini dapat ditangani sebaiknya, kerana guru-guru KAFA menjadi penyumbang yang penting dalam memberi pendidikan keagamaan kepada anak-anak di peringkat akar umbi.

“Sumbangan guru KAFA amat penting untuk mencapai matlamat penubuhannya. Saya juga berharap guru KAFA akan mengekalkan perpaduan dan sentiasa bekerjasama demi kesinambungan usaha para ilmuan Islam terdahulu”, tegasnya.

Beliau turut berharap melalui multaqa itu akan membuka lebih banyak lagi peluang untuk usaha-usaha meningkatkan tahap dan kualiti guru-guru KAFA negeri Sabah dan segala keperluan untuk membangunkan pendidikan Islam juga akan dapat terus ditingkatkan.

RELATED ARTICLES
Utama

Patuhi peraturan, pandu dengan baik ketika musim perayaan – Shahelmey

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular