Hajiji lancar Rumah Mesra SMJ Peringkat Negeri Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:3 Minute, 5 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KUALA PENYU: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah – Barisan Nasional (GRS-BN) telah melancarkan secara rasmi inisiatif Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) Peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.

Inisiatif kerajaan ini adalah untuk mengeluarkan golongan kategori miskin dan miskin tegar daripada kepompong kemiskinan dan memastikan penyediaan rumah mampu milik untuk mereka.

Ketua Menteri Datuk Seri Haiji Noor berkata, pelancaran Rumah Mesra SMJ adalah bermakna kepada Kerajaan Negeri GRS-BN kerana ia juga bertepatan dengan ulang tahun dua tahunnya pentadbiran di teraju GRS-BN membentuk Kerajaan Negeri pada 29 Sept 2020.

Katanya, rumah tersebut akan dibina di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) menggunakan geran khas Persekutuan RM125.6 juta yang disalurkan kepada Kementerian Kemajuan Pembangunan Luar Bandar Negeri pada hari ini.

“Sebanyak 1,500 Rumah Mesra SMJ akan dibina di seluruh kawasan DUN Sabah pada tahun ini, pada hari ini dua buah Rumah Mesra SMJ telah siap dan secara rasminya melancarkan serta menyerahkan kunci rumah kepada pemilik rumah,” katanya.

Setiap rumah berharga RM70,000, beliau turut berharap ianya dapat disiapkan mengikut jadual.

https://youtu.be/ykYS2j-nkI4

Pada masa yang sama, Hajiji telah meminta Kementerian Pembangunan Luar Bandar memastikan hanya penerima yang layak mendapat rumah tersebut.

“Kita mesti pastikan keutamaan diberikan kepada mereka yang tidak memiliki rumah. Antara kriteria Rumah Mesra SMJ ialah mereka berada dalam senarai e-kasih, miskin dan miskin tegar yang berpendapatan di bawah RM1000, rumah rosak akibat bencana alam atau orang kurang upaya,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Rumah SMJ Peringkat Negeri Sabah, Daerah Kuala Penyu dan Menumbok dekat sini hari ini.

Hajiji memberi jaminan Kerajaan Negeri GRS-BN akan terus menggandakan usaha untuk menjaga kebajikan rakyat dan kepentingan negeri.

Beliau berkata, kebajikan rakyat termasuk pemilikan rumah adalah keutamaan kerajaan.

“Sebab itu selain memberi perhatian kepada sektor pertumbuhan utama dan pemulihan ekonomi di Hala Tuju Sabah Maju Jaya, kerajaan juga memberi tumpuan kepada teras kedua pelan pembangunan iaitu modal insan dan kemakmuran rakyat termasuk memastikan rakyat mempunyai bumbung di atas kepala,” katanya.

Ketua Menteri menjelaskan bahawa Rumah Mesra SMJ yang mengamalkan konsep Projek Perumahan Termiskin (PPRT) adalah untuk membantu golongan yang berada di bawah garis kemiskinan memiliki rumah.

“Atas sebab itulah, saya sering menekankan bahawa semua dasar dan program kerajaan yang sedang dirancang mestilah berorientasikan kemakmuran rakyat. Golongan miskin tidak boleh diketepikan dan kerajaan akan sentiasa memantau rumah tersebut bagi memastikan ia tidak disewakan,” ujarnya.

Menurut Hajiji, selain mendapat bantuan Rumah Mesra SMJ, Kerajaan Persekutuan juga memberikan 700 rumah PPRT kepada golongan kategori miskin dan miskin tegar di Sabah.

“In sha Allah Kerajaan Negeri akan melaksanakan pemberian fasa kedua Rumah Mesra SMJ pada tahun hadapan kepada golongan tersebut,” jelasnya.

Hajiji juga percaya rakyat cukup bijak menilai prestasi dan pencapaian Kerajaan Negeri GRS-BN sejak dua tahun lalu.

“Saya dan rakan-rakan dalam GRS-BN komited untuk melakukan yang terbaik untuk membawa kemajuan dan kemakmuran yang lebih bermakna kepada negeri dan rakyat,” katanya.

Sebelum pelancaran rasmi di Rumah Budaya di sini, Ketua Menteri melawat dua buah rumah model Rumah Mesra SMJ yang telah siap iaitu pemilik Shahlan Wahap di Kampung Kepayan Skim, Menumbok dan pemilik Gaudi Bonti di Kampung Batu 4, Bundu, Kuala Penyu di mana beliau menyampaikan sendiri kunci rumah kepada kedua-dua pemilik itu hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji turut meluluskan peruntukan untuk pembinaan esplanade di sepanjang Sungai Sitompok dan Dewan Kebudayaan di Kuala Penyu.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam, Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Arifin Arif, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Shahelmey Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Datuk Rosmadi Sulai dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Norlija Danin yang juga pengerusi penganjur.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *