HomePolitikMadius tidak pertahan jawatan, Ewon bakal Presiden UPKO

Madius tidak pertahan jawatan, Ewon bakal Presiden UPKO

Read Time:2 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau tidak mempertahankan jawatan sebagai presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pada pemilihan parti kali ini bagi memberi laluan kepada Datuk Ewon Benedick menerajui parti itu.

Madius berkata, keputusan itu dipersetujui dan mencapai kata sepakat setelah menilai tahap kesediaan pemimpin baru menggalas tanggungjawab menerajui UPKO.

“Dengan ini saya mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UPKO bagi penggal yang akan datang.

“Saya ingin umumkan bahawa Presiden UPKO yang baharu bakal diterajui oleh Naib Presiden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Yang Berhormat Datuk Ewon Benedick,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Perjumpaan Khas bersama Ahli-Ahli Majlis Tertinggi (AMT) dan Ketua-ketua Bahagian UPKO, di Ibu Pejabat UPKO Penampang, di sini, hari ini.

Madius berkata, beliau turut yakin dan percaya kepimpinan baru yang bakal diterajui oleh Datuk Ewon akan memastikan UPKO terus fokus dan komited sebagai parti tempatan yang memperjuangkan hal ehwal politik dan kepentingan rakyat lebih-lebih lagi dalam menempuhi senario politik negara yang mana keterlibatan lebih ramai pengundi baru dan muda melalui pendaftaran automatik undi-18.

Katanya, dengan keadaan politik negara yang tidak stabil dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang semakin hampir maka UPKO perlu menyusun strategi baharu untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat.Justeru itu katanya, UPKO mengetengahkan barisan kepimpinan baharu dengan perspektif segar, dan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip asas perjuangan parti.

“Pada masa yang sama, kesemua Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, Ketua-ketua Bahagian, dan Presiden Kehormat Yang Berbahagia Tan Sri Bernard Dompok sebulat suara memberi kepercayaan kepada saya untuk memegang jawatan Presiden Kehormat UPKO yang baharu.

“Saya akan mengalas kepercayaan dan tanggungjawab ini dalam terus membantu dan bekerjasama dengan kepimpinan UPKO yang baru,” katanya.

Sementara itu, Madius berkata, UPKO juga akan tetap memperjuangkan suara rakyat di peringkat politik Sabah dan nasional terutamanya melibatkan keputusan pembuatan dasar.

“Apa yang pasti, teraju kepimpinan UPKO akan lebih berfokus selepas ini. Selaku bakal Presiden UPKO yang baru dan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Ewon akan menumpukan hal ehwal politik dan perjuangan UPKO di Sabah.

“Manakala, saya sebagai Ahli Parlimen akan membantu menumpukan perhatian terhadap perjuangan UPKO sebagai peneraju perjuangan rakyat di peringkat politik nasional,” katanya.

Madius berkata, pimpinan parti yakin dan bersetuju semua keputusan itu adalah langkah terbaik bagi seluruh warga UPKO dalam usaha terus berjuang mengangkat suara rakyat.

“Dalam usaha kita meneruskan perjuangan, kita harus sentiasa bersedia menghadapi pelbagai cabaran terutama dalam keadaan landskap politik yang kompleks. UPKO perlu kekal kukuh sebagai parti tempatan yang mengutamakan perjuangan rakyat dan berfikiran progresif untuk maju ke hadapan,” katanya.

Selain jawatan Presiden, pemilihan jawatan Timbalan Presiden UPKO turut tidak mengalami sebarang pertandingan kali ini.

Timbalan Presiden disandang Ketua Bahagian UPKO Penampang, Datuk Donald Peter Mojuntin.

Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO ke-16 dan pemilihan Ahli-Ahli Majlis Tertinggi bagi penggal yang baharu akan diadakan pada 15 dan 16 Oktober ini.

Pada sidang media itu juga, Madius turut mengumumkan akan bertanding mempertahankan Kerusi Parlimen P.170 Tuaran pada PRU15.

RELATED ARTICLES
Politik

Gagasan Rakyat terus dapat sambutan menggalakkan daripada rakyat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular