HomeUtamaSabah hargai usaha PETRONAS beri komitmen teguh dalam bidang pendidikan

Sabah hargai usaha PETRONAS beri komitmen teguh dalam bidang pendidikan

Read Time:2 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah menghargai usaha Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) yang kekal teguh dengan komitmen terhadap pelaburan dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan di negeri ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai berkata, ia termasuklah penubuhan Pusat Latihan Petroleum Kimanis (KTC) dan pembinaan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau.

Katanya, selain itu PETRONAS turut melaksanakan penganugerahan tahunan Program Penajaan Pendidikan PETRONAS kepada pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

“PETRONAS juga turut menyumbang melalui program Bantuan Penajaan dan Latihan Institusi Vokasional (VISTA) membabitkan lima institusi di Sabah bagi membangunkan keupayaan teknikal belia di negeri ini selain pelbagai lagi program yang menyumbang kepada pembangunan bakat untuk negeri dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Konvokesyen KTC di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Pejabat Hal-Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Sabah, Datuk Awang Shaminan Awang Sahari Dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Maria Chong.

Pada majlis itu, seramai 42 pelatih KTC ambilan 2017 dan 2018 menerima skrol diploma masing-masing yang disampaikan oleh Rosmadi.

Rosmadi berkata, melalui Perjanjian Kerjasama Komersil (CCA) yang ditandatangani kerajaan Sabah dan PETRONAS pada 7 Disember 2021 lalu, pelbagai usaha turut dirancang dan dilaksanakan kedua pihak untuk sama-sama membangunkan Sabah termasuk modal insan.

“Melalui kerjasama ini, di peringkat sekolah dan institut pengajian tinggi, tumpuan kita adalah meningkatkan kecenderungan pelajar kepada Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

“Selain itu, fokus juga diberikan kepada meningkatkan bilangan pakar tempatan dalam industri minyak dan gas. Pembinaan KTC sejak 2011 adalah usaha murni PETRONAS untuk menampung permintaan tenaga kerja dalam industri minyak dan gas di Malaysia khususnya Sabah,” katanya.

Sementara itu, KTC Sabah sehingga kini telah berjaya melahirkan seramai 174 pelatih berkemahiran tinggi dalam bidang minyak dan gas di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Technical Training Sdn Bhd, Idris Ibrahim, berkata, hampir 100 peratus graduan pusat latihan yang dikendalikan PETRONAS sejak 2011 itu mendapat pekerjaan dalam industri minyak dan gas serta industri lain.

Katanya, KTC ditubuhkan sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat PETRONAS bagi menyokong pembangunan modal insan di Sabah, khususnya dalam industri minyak dan gas.

“KTC komited dalam membangunkan dan melengkapkan belia di Sabah dengan kemahiran dan kelayakan yang diperlukan untuk mereka menceburi pekerjaan dalam industri minyak dan gas,” katanya.

KTC beroperasi bersebelahan Terminal Minyak Dan Gas Sabah (SOGT) di Kimanis adalah pusat latihan pertama di Sabah yang diakreditasi di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

Pusat itu menawarkan program diploma secara sepenuh masa selama tiga tahun dalam bidang Instrumentasi Industri dan Kawalan Sistem – Pemantauan dan Kawalan (Tahap 4), Diploma Kemahiran Malaysia.

KTC turut bekerjasama dengan Akademi Binaan Malaysia (ABM) bagi menyediakan latihan perancah kepada belia Sabah melalui Program VISTA.

RELATED ARTICLES
Utama

Pemuda GRS saran pelajar UMS gunakan saluran betul suarakan isu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular