Harga maksimum minyak masak botol turun lagi bermula Sabtu ini

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan sekali lagi menurunkan harga minyak masak tulen kemasan botol lima kilogram (kg) kepada RM31.50 di seluruh negara yang berkuat kuasa Sabtu ini sehingga 7 November depan.

Penurunan harga baharu itu adalah selari dengan pola penurunan harga purata minyak masak mentah (CPO) pada September lalu.

Menteri Perdagangan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, harga minyak masak yang diturunkan itu merupakan komitmen Kerajaan dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Katanya, pihaknya berharap agar penetapan harga baharu bagi minyak masak tulen kemasan botol ini berupaya memberi manfaat kepada Keluarga Malaysia.

“Pihak kementerian turut menggalakkan pengguna untuk menjadi ‘mata dan telinga’ kepada Kerajaan untuk menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Ini termasuklah penyiaran maklumat berkaitan harga runcit minyak masak sawit tulen di pasaran secara rasmi melalui saluran disediakan,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau di sini semalam.

Penurunan harga minyak masak botol lima kg ini merupakan yang kedua diturunkan sejak pelaksanaan harga maksimum minyak berkenaan secara bulanan berdasarkan harga bagi satu tan metrik CPO.

Sebelum ini, harga minyak masak botol lima kg diturunkan kepada RM33.50 berbanding RM34.70 untuk tempoh pelaksanaan antara 8 September hingga 7 Oktober.

Selain minyak masak botol lima kg yang diturunkan RM2, harga minyak masak botol tiga kg diturunkan RM1.20 iaitu daripada RM21.10 kepada RM19.90.

Untuk kemasan botol dua kg pula, harga minyak masak tulen turun daripada RM14.30 kepada RM13.50, manakala untuk botol satu kg turun daripada RM7.50 kepada RM7.10.

Sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi portal e-aduan KPDNHEP atau dengan menghubungi talian 1-800-886-800, atau emel kepada [email protected], Ez ADU KPDNHEP serta menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03 8882 6088/6245 atau membuat aduan di aplikasi WhatsApp di talian 019- 279 4317 atau 019-848 8000.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *