Nilai dan Makna Rumah Mesra SMJ – Armizan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 22 Second

KOTA KINABALU: Pelaksanaan Rumah Mesra SMJ (Sabah Maju Jaya) sebagai usaha membantu golongan miskin di negeri ini membuktikan Kerajaan Negeri komited dalam memperjuangkan kebajikan golongan tersebut tidak dipinggirkan.

Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah Bahagian Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata, beliau tersentuh dengan kata-kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang memberi penekanan dalam usaha kerajaan membantu rakyat golongan miskin di negeri ini supaya memiliki rumah yang selesa sebagai tempat berlindung.

“Dorang miskin, tapi kalau mereka ada sedikit tanah untuk tapak rumah, kita perlu bantu buat rumah untuk keluarga berlindung. Jangan sampai orang miskin tiada tanah walau seinci, baru kita mahu ikhtiar untuk bantu. Masa itu kos yang diperlukan akan makin tinggi”. Inilah antara kata-kata Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah, yang akan saya ingat sampai bila-bila,” kata Armizan dalam kenyataannya semalam.

Armizan berkata, ungkapan bermakna ini Ketua Menteri lafazkan sebagai respon kepada cadangan alternatif supaya peruntukan ratusan juta yang diperuntukkan untuk pelaksanaan Rumah Mesra SMJ seharusnya diutamakan terlebih dahulu bagi program atau projek berimpak tinggi berorientasikan ekonomi.

“Cadangan itu sememangnya mempunyai asas kerana dana tambahan diperlukan untuk inisiatif dan strategi yang amat penting serta menjadi keutamaan sebagai pemangkin lonjakan ekonomi Sabah. Namun, ‘wisdom’ yang mengiringi hujah Ketua Menteri mempertahankan peruntukan segera untuk Rumah Mesra SMJ telah meyakinkan mereka yang terlibat dalam perbincangan itu,” ujarnya.

Katanya, pada 28 September 2022 lalu bersempena Dua Tahun Pentadbiran Kerajaan Negeri pimpinan beliau, Hajiji telah melancarkan secara rasmi Rumah Mesra SMJ dengan dua unit awal (bertiang dan atas tanah) siap dibina di Menumbok dan Kuala Penyu.

“Rumah Mesra SMJ bermula dengan kejayaan yang diperolehi melalui muafakat untuk meningkatkan kadar pemberian Geran Khas Persekutuan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sabah daripada RM26 juta kepada RM125.6 juta setahun; kadar yang pertama kali disemak dan ditingkatkan pada tahun 2022 sejak Malaysia dibentuk pada 1963. Geran ini adalah hak Sabah yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan termaktub atas semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Ketua Menteri berkehendakkan supaya nilai dan makna dalam sejarah baharu ini bukan hanya harus diDENGAR, tetapi perlu dapat diLIHAT dan diRASAI secara langsung oleh rakyat Sabah,” jelasnya.

Beliau berkata, atas sebab itu, Ketua Menteri mengusulkan kesemua kadar peningkatan Geran Khas Persekutuan itu diperuntukkan bagi pelaksanaan Rumah Mesra SMJ iaitu inisiatif baharu di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya melalui teras ketiga iaitu Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat.

“Rumah Mesra SMJ berkonsepkan Program PPRT. Ini bermakna selain daripada Rumah PPRT yang jumlah peruntukan tahunannya bergantung kepada Persekutuan, golongan miskin juga akan dapat dibantu melalui program pemberian rumah versi Kerajaan Negeri.

“Syukur Alhamdulillah, dalam hanya tempoh lebih kurang dua bulan dari tarikh geran hak negeri ini disalurkan oleh Persekutuan ke dalam kantung Negeri, inisiatif ini telah dapat dirintis dan akan membawa 1,500 unit setahun Rumah Mesra SMJ untuk diagihkan kepada golongan miskin dalam senarai e-kasih,” tambahnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *