HomeUtamaRakyat berperanan tepis penyebaran berita tidak tepat tentang isu tuntutan sulu

Rakyat berperanan tepis penyebaran berita tidak tepat tentang isu tuntutan sulu

Read Time:2 Minute, 6 Second

KUALA LUMPUR : Rakyat Sabah berperanan untuk menapis dan menghalang penyebaran berita tidak tepat mengenai isu tuntutan oleh pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ini termasuklah memastikan fokus diberikan terhadap makluman sah daripada sumber Kerajaan yang diwakili Kementerian atau Jabatan berkepentingan.

Katanya, tanggungjawab untuk menjaga kepentingan negara adalah tanggungjawab bersama dan Kerajaan mengalu-alukan bantuan daripada masyarakat umum untuk sentiasa mempertahankan kepentingan negara walaupun melalui media sosial.

“Kerajaan juga sentiasa komited untuk memastikan isu tuntutan pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu ini ditangani melalui pendekatan strategik yang proaktif.

“Selaras dengan perkara ini, Kerajaan pada 22 Julai lalu telah menubuhkan Pasukan Khas Bagi Menangani Isu Tuntutan Waris Jamalul Kiram II (Sultan Sulu) Terhadap Kerajaan Malaysia bagi meneliti, memantau serta merangka tindakan undang-undang sewajarnya untuk menangani isu tuntutan waris Sultan Jamalul Kiram II (Sultan Sulu) terhadap Kerajaan Malaysia dan mengesyorkan opsyen-opsyen terbaik mengenai hala tuju Kerajaan berhubung kes berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Azizah Mohd Dun (BERSATU-Beaufort) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata, komposisi keahlian Pasukan Khas ini terdiri daripada Menteri-Menteri Kabinet mewakili Kementerian dan Jabatan berkepentingan, penimbang tara tempatan yang berpengalaman mengendalikan kes timbang tara di peringkat antarabangsa dan pengamal undang-undang yang berkepakaran dalam bidang perundangan termasuk yang berasal dari Sabah.

Katanya, beberapa siri mesyuarat dan perbincangan Pasukan Khas Sulu telah diadakan termasuk di peringkat Jawatankuasa Teknikal untuk meneliti isu ini dari aspek perundangan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara.

“Negara berhadapan dengan situasi di mana media luar negara melaporkan berita yang kurang tepat mengenai isu tuntutan pihak mendakwa waris kesultanan Sulu terhadap Malaysia yang boleh mempengaruhi prosiding kes yang berlangsung di Sepanyol, Perancis dan Luxembourg.

“Pada masa yang sama, terdapat keperluan untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai fakta dan status tindakan Kerajaan berkaitan isu ini.  Justeru, selain aspek perundangan, penyelarasan pelan komunikasi strategik berkaitan isu ini turut menjadi fokus Kerajaan agar naratif yang tepat, efisien dan efektif sampai kepada kumpulan sasaran dalam dan luar negara.

“Tindakan ini dapat menjelaskan maklumat sebenar disebalik spekulasi serta tohmahan yang tidak benar daripada individu-individu yang tidak bertanggungjawab demi kepentingan diri masing-masing,” katanya.

Tambahnya, antara tindakan yang dibuat adalah menentukan saluran dan agensi media yang akan digunakan bagi mengendalikan tindakan penetapan naratif dan naratif balas sama ada di dalam mahu pun luar negara bagi menangani artikel-artikel yang dimainkan secara berterusan sejak Final Award diperolehi oleh pihak Penuntut terutama di Perancis dan Sepanyol.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular