BAJET 2023: Bantuan Awal Persekolahan diberikan semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapa

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 30 Second

KUALA LUMPUR: Bantuan Awal Persekolahan (BAP) diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapanya antara diumum kerajaan dalam Bajet 2023.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, Bantuan Awal Persekolahan selama ini telah meringankan beban ibu bapa berpendapatan 3,000 ringgit ke bawah untuk menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak. Bermula tahun ini, kadar BAP telah dinaikkan kepada 150 ringgit berbanding 100 ringgit.

Katanya, Kementerian Pendidikan akan terus menerima peruntukan terbesar iaitu sebanyak 55.6 bilion berbanding 52.6 bilion ringgit tahun ini.

“Justeru itu, bagi tahun hadapan 2023, sukacita diumumkan, Bantuan Awal Persekolahan akan diberikan kepada semua murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapanya.

“Sebagai contoh, jika sebuah keluarga mempunyai tiga orang anak bersekolah, maka mereka layak menerima BAP sebanyak 450 ringgit! Insya-allah, Bantuan ini akan disalurkan pada Januari 2023 dan diharap dapat meringankan beban ibu bapa yang menyara anak-anak bersekolah.

“Peruntukan disediakan untuk BAP adalah sebanyak 825 juta ringgit iaitu jauh melebihi peruntukan tahun ini 450 juta ringgit, “katanya pada pembentangan Bajet 2023 di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Sementara itu Zafrul berkata, seperti yang beliau umumkan semasa Bajet 2022, Kerajaan telah menambah baik RMT dengan menyediakan bekalan susu pada setiap hari persekolahan anak-anak.

“Bagi terus menambah baik Program ini, Kerajaan akan menaikkan kadar makanan bermasak RMT daripada 2 ringgit 50 sen kepada 3 ringgit 50 sen untuk Semenanjung dan 3 ringgit kepada 4 ringgit bagi Sabah, Sarawak dan Labuan. Kenaikan kadar ini akan berkuat kuasa pada bulan ini juga,”katanya.

Menurut Zafrul, sejumlah 777 juta ringgit disediakan iaitu peningkatan signifikan berbanding 280 juta ringgit pada tahun 2020 atas peluasan penerima, kenaikan kadar dan penyediaan bekalan susu setiap hari.

“Dengan itu, lebih 800 ribu murid serta 7,300 pengusaha makanan dan pembekal susu tempatan akan menerima manfaat daripada penambahbaikan ini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *