HomeUtamaPersatuan etnik diseru terus bangunkan & memartabatkan budaya etnik

Persatuan etnik diseru terus bangunkan & memartabatkan budaya etnik

Read Time:1 Minute, 45 Second

KOTA KINABALU: Persatuan etnik di negeri ini diseru supaya terus membangunkan dan memartabatkan budaya etnik masing-masing agar ianya tidak pupus, malah dikenali ke peringkat antarabangsa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, budaya merupakan aspek penting dalam kehidupan rakyat yang menjadi identiti sesuatu etnik dan harus dipelihara serta dimartabatkan untuk kepentingan semua.

Katanya, dengan pembukaan semula sempadan negara pada 1 April lalu, sudah pasti Sabah akan menerima ramai pelancong seperti sebelum pandemik COVID-19.

“Justeru, saya meminta semua persatuan etnik agar mengambil peluang ini untuk memperkenalkan kebudayaan masing-masing. Kedatangan jumlah pelancong kira-kira 857,975 orang ke Sabah setakat bulan Julai lalu, amat menggalakkan dan ini merupakan ruang yang baik untuk memperkenalkan keunikan khazanah budaya masing-masing”, katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Hari Etnik Sabah sempena Perayaan Hari Jadi Rasmi Ke-69 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC), malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III/Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji berkata, kekayaan budaya juga merupakan khazanah negeri yang amat bernilai untuk terus dipertahankan sebagai sumber ekonomi negeri, melalui industri pelancongan, industri seni kreatif termasuklah industri kecil dan sederhana yang berasaskan komuniti di Sabah.

Menurutnya, salah satu langkah yang diambil untuk memartabatkan budaya etnik Sabah ialah pemakaian kostum etnik Sabah yang dijadikan kod pakaian rasmi dalam mana-mana majlis kerajaan dan hari-hari tertentu yang difikirkan wajar.

Katanya, Sabah selaku negeri yang berbilang etnik dan agama, amat penting setiap rakyat negeri ini memupuk dan menjiwai sikap hormat menghormati dan bertoleransi antara satu dengan yang lain demi menjaga hubungan yang kolektif dan harmoni.

Beliau berkata, setiap mesej perdamaian dan keamanan haruslah dijadikan asas untuk rakyat terus bersatu serta memperkasa semangat perpaduan yang sedia terjalin.

“Perpaduan yang jitu merupakan tunjang kekuatan sesebuah negeri untuk terus maju dalam bidang ekonomi, politik, sosial dan sebagainya seiring dengan aspirasi yang terkandung dalam Sabah Maju Jaya.

“Selaras dengan tema sambutan perayaan Hari Etnik Sabah pada tahun ini iaitu “Memartabatkan Budaya Etnik Sabah”, marilah kita bersama-sama bersatu padu dalam perjuangan memartabatkan keunikan budaya etnik di negeri kita”, tegasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Yayasan PETRONAS agih 500 bakul makanan sempena Kaamatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular