Sabah FC pesta gol benam Penang FC di laman sendiri

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 41 Second

KOTA KINABALU : Sabah FC berjaya mencapai misi untuk memperoleh kemenangan pada perlawanan terakhir di laman sendiri selepas menewaskan Penang FC 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Likas malam ini.

Sebelum ini skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee gagal merekodkan sebarang kemenangan selepas tewas dalam dua perlawanan menentang Selangor FC (2-3) dan Terengganu FC (0-2).

Babak pertama bermula, Sabah FC lebih banyak melakukan serangan di gawang pasukan pelawat dan pemain import tuan rumah Saddil Ramdani hampir memperoleh gol awal menerusi percubaan pada minit ke-2 namun sepakannya tersasar ke kiri tiang gol Penang FC.

Ketua pasukan Sabah FC, Baddrol Bakhtiar berjaya menggembirakan penyokong yang hadir apabila menanduk masuk bola hasil hantaran Alto Linus pada minit ke-32 seterusnya membolehkan skuad The Rhinos mendahului jaringan 1-0.

Tiga minit berselang pemain pasukan pelawat Muhammad Adib Abdul Ra’op hampir berjaya menyamakan kedudukan menerusi percubaan dalam kotak penalti namun berjaya diselamatkan penjaga gol Sabah FC Khairul Fahmi Che Mat.

Beberapa minit sebelum tamat masa pertama, pemain import Penang FC Rafael Vitor dihadiahkan kad merah selepas melakukan tolakan keras terhadap Saddil Ramdani pada minit ke-42.

Tamat masa rehat, pasukan pelawat tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Muhammad Adib berjaya menanduk masuk bola hasil sepakan sudut pada minit ke-69 membolehkan kedudukan 1-1.

Dua minit berselang, Sabah FC terus menambah kelukaan pasukan pelawat apabila Park Taesu berjaya menanduk masuk bola hasil sepakan percuma Saddil Ramdani pada minit ke-71 menjadikan kedudukan 2-1.

Tujuh minit selepas itu, Sabah FC terus menambah gol ketiga menerusi sepakan penalti yang disudahkan oleh Saddil Ramdani pada minit ke-78 sekaligus memberi kelegaan buat Sabah untuk mencatat kemenangan di laman sendiri.

Sekali lagi Sabah FC berjaya menambah gol keempat menerusi jaringan Stuart John Wilkin yang menolak masuk bola hasil sepakan percuma Mohd Amri Yahyah pada minit ke-88 dan menjadikan kedudukan 4-1.

Kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan dan Sabah FC berjaya mengutip 39 mata berada di tangga kedua dibelakang pendahulu liga Johor Darul Ta’zim (JDT) FC.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *