Beri pendedahan, peluang pemain muda sertai kejohanan sukan Boling Padang

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 26 Second

KENINGAU : Persatuan Boling Padang Negeri Sabah diseru untuk terus mengetengahkan para pemain muda menerusi pelbagai kejohanan bagi memberi pendedahan dan memberi peluang kepada mereka untuk menimba pengalaman.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, peluang itu akan dapat diguna pakai untuk bertemu dan belajar ilmu mengenai Boling Padang dengan para pemain-pemain terbaik di negeri ini.

“Difahamkan bahawa semakin ramai pemain senior memilih Sukan Boling Padang sebagai sukan pilihan mereka dan mereka suka menyertai kejohanan.

“Ini menandakan pemain senior sentiasa berganding tangan mempromosikan Sukan Boling Padang dan mengambil sukan  ini sebagai salah satu aktiviti untuk kesihatan hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Sabah Open Pairs 2022 di Gelanggang Boling Padang di sini semalam.

Dalam pada itu, Ellron berkata, Gelanggang Boling Padang di Kompleks Sukan Kota Kinabalu yang kini tidak dapat digunakan kerana karpet di gelanggang tersebut telah uzur akan diberi keutamaan untuk dinaik taraf.

“Sejak bermulanya pendemik COVID-19 pada 2020, Club House Boling Padang ini telah digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai tempat awam bagi melaksanakan ‘Swab Test’ COVID-19 dan sejak itu juga Gelanggang Boling Padang ditutup untuk digunakan.

“Usaha untuk menaik taraf gelanggang serta pembinaan bumbung sedang dalam proses pelaksanaan.

“Saya akan mempastikan pelan menaik taraf gelanggang serta pembinaan bumbung diberi keutamaan agar ianya dapat direalisasikan,” katanya.

Sementara itu, Ellron turut merakamkan ucapan tahniah kepada Persatuan Boling Padang, Pengurus dan Jurulatih Pasukan Sukma Boling Padang atas kejayaan memperolehi satu pingat Perak dan satu pingat Gangsa walaupun para atlet-atlet ini mempunyai kesulitan dengan tempat latihan.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Jawatankuasa Penganjur atas dedikasi, komitmen serta kerja keras mereka sehingga kejohanan ini dapat dianjurkan dengan jayanya. Saya berharap semua merasa seronok bertanding di kejohanan ini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *