HSN platform terbaik terap budaya bersukan dalam kalangan masyarakat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 27 Second

KENINGAU: Pelaksanaan Hari Sukan Negara (HSN) merupakan satu platform yang baik bagi menerapkan budaya mengamalkan aktiviti bersukan dan riadah dalam kalangan masyarakat setempat.

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Angin berkata, aktiviti sukan juga akan menjadikan rakyat Malaysia sebagai sebuah ‘negara bersukan’ selain menjadi wadah perpaduan rakyat dan penyatuan nasional.

Katanya, bagi mendukung Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (Teras Strategik 7: Modal Sosial) penyertaan aktiviti sukan yang lebih luas di semua peringkat akan di beri keutamaan bagi memupuk perpaduan dan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.

“Ia seterusnya akan mewujudkan persekitaran yang kondusif melalui pelbagai program dan penggunaan kemudahan sukan.

“Menjelang tahun 2030, rakyat di negara ini perlu mencapai sasaran 50 peratus daripada jumlah penduduknya aktif dalam aktiviti sukan, riadah dan kecergasan. 

“Saya percaya matlamat ini dapat dicapai dengan adanya sokongan dan penglibatan menyeluruh daripada pelbagai lapisan masyarakat, sektor awam dan swasta, badan-badan sukan serta NGO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan HSN peringkat negeri Sabah di Padang Hoki Kompleks Sukan Keningau di sini semalam.

Ellron berkata, menerusi konsep Fit Malaysia juga, kerajaan berhasrat menggalakkan budaya bersenam dan bersukan sekaligus menitikberatkan penglibatan bersama dalam aktiviti sukan massa di bawah gerakan perdana.

Katanya, program yang dapat melibatkan jumlah penyertaan ramai akan dapat membuka minat rakyat untuk sama-sama turun padang melakukan aktiviti yang sihat dan bermanfaat. 

“Teruskan budaya sihat ini dan bagi pihak pimpinan negeri kita akan terus memberi sokongan dan galakkan supaya aktiviti seumpama ini sentiasa diadakan dipelbagai peringkat.

“Ini salah satu aktiviti untuk mempromosikan kepada rakyat bahawa senangnya bagi kita melakukan aktiviti sukan demi mendapat kesihatan yang baik.  Saya juga menyeru agar semua rakyat di negeri ini dapat menggunakan kemudahan sukan yang sediada bagi memastikan kecergasan tubuh badan kita sentiasa dapat ditingkatkan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *