Oleh ERDIE AB WAHID
KOTA KINABALU : Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa pada hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.
Pengumuman itu dibuat selepas beliau menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara tengah hari semalam.
“Dengan ini dimaklumkan, bahawa tengah hari semalam, saya telah menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyembah warkah permintaan kepada Baginda, mengenai pembubaran Parlimen Ke-14.
“Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, telah bertindak menurut budi bicara Baginda dengan memperkenankan permintaan saya, supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 Oktober 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam pengumuman khas yang dibuat dari Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya dan disiarkan secara langsung di televisyen jam 3 petang tadi.
Ismail Sabri sebelum itu memulakan pengumuman khas dengan mengimbas amanah dan tanggungjawab yang dipikul beliau sepanjang tempoh negara diselubungi tri-lema pandemik COVID-19.
Katanya, Kerajaan ini bertanggungjawab dan sentiasa membuat perancangan yang teliti dalam semua perihal.
Tambahnya, ketika negara berhadapan krisis kesihatan misalnya, Kerajaan meletakkan kepentingan Keluarga Malaysia di atas segala-galanya.
“Terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan dan seluruh Keluarga Malaysia, yang sentiasa memberikan sokongan ampuh dalam membantu Kerajaan membendung penularan COVID-19,” katanya.
Susulan pembubaran, Ismail Sabri mengesyorkan Ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya, bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama dengan Pilihan Raya Umum Peringkat Parlimen meskipun beberapa buah negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing.
Katanya, ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos.
“Sementara itu, penetapan tarikh-tarikh hari penamaan calon, dan hari mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan, adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.