KOTA KINABALU : Golongan Wanita di negeri ini perlu mempersiapkan diri dengan ilmu dan kemahiran agar sentiasa relevan dalam apa juga aspek.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong Dasar Wanita Negara dalam memperkasakan kaum Wanita.
“Kerajaan Negeri Sabah menyokong Dasar Wanita Negara iaitu menjamin pembangunan dan pengupayaan wanita dengan mengarusperdanakan kepentingan wanita melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya di bawah inisiatif Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat.
“Pelbagai program telah dirancang dan dilaksanakan bagi memastikan pembangunan sosio ekonomi wanita di negeri Sabah menjadi lebih pesat dan teratur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran kepada NGOs Wanita dan Geran Bantuan Peralatan Usahawan Bimbingan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) di Wisma Wanita di sini semalam.
Shahelmey berkata, golongan wanita juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran dengan mengikuti program-program yang dianjurkan sama ada dari pihak Kerajaan, swasta mahupun persatuan-persatuan yang bersesuaian dengan situasi semasa agar sentiasa relevan.
Beliau berkata, dengan pemberian geran ini akan dapat meningkatkan lagi penglibatan wanita dalam program-program pemerkasaan wanita.
“Saya berharap dengan pemberian geran ini akan dapat menyemarakkan lagi semangat para wanita untuk lebih melibatkan diri dalam pelbagai projek atau program pemerkasaan wanita.
“Semoga kerjasama di antara pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan dapat diteruskan dalam menggembleng tenaga untuk memperkasakan wanita dalam apa juga sector,” katanya.
Seramai 36 persatuan wanita yang aktif dan berdaftar di bawah JHEWA telah menerima bantuan geran bagi membolehkan aktiviti-aktiviti bersama komuniti dilaksanakan.
Manakala seramai 104 usahawan ibu tunggal dan wanita B40 telah menerima geran berupa peralatan bagi membantu meningkatkan pendapatan hasil perniagaan mereka.
Penerima-penerima geran bantuan peralatan ini merupakan mereka yang telah menyertai program-program kursus kemahiran anjuran JHEWA.
Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat; Datuk Julita Majungki, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat; Datuk Sr. Lee Chun Khiong dan Pengarah JHEWA; Haslina Ismail.