HomeIsu tempatanPelan RBBC mampu mencapai objektif menjelang 2029

Pelan RBBC mampu mencapai objektif menjelang 2029

Read Time:2 Minute, 23 Second

PAPAR : Pelan Pengurusan Rizab Biosfera Banjaran Crocker (RBBC) yang dirangka dan mengandungi 13 Pelan Tindakan diyakini mampu mencapai objektif pelan itu menjelang tahun 2029.

Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS) Dr Maklarin Lakim berkata, antara objektif utama RBBC adalah bagi memastikan perlindungan biodiversiti,  pembangunan mampan,  Penyelidikan dan Pendidikan,  serta pembangunan ekonomi komuniti melalui eko-pelancongan. 

“Saya percaya,  dengan adanya sokongan daripada pihak berkepentingan dan para komuniti,  kita pasti mampu memanfaatkan program UNESCO ini dengan baik dan memperoleh kejayaan sesuai dengan dasar yang telah dirangka oleh Pengurusan RBBC. 

“Sebagai perkongsian,  di seluruh dunia  setakat ini,  terdapat 727 Rizab Biosfera yang berada di 131 buah negara, “katanya ketika berucap pada Program Jelajah Taklimat dan Pameran RBBC Papar di sini semalam.

Program itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau Datuk Juil Nuatim.

Maklarin berkata, hanya tiga tapak Rizab Biosfera di Malaysia iaitu Rezab Biosfera Tasik Chini, Pahang (2009),  Rizab Biosfera Banjaran Crocker, Sabah (2014) dan Rizab Biosfera Bukit Bendera,  Pulau Pinang (2021).

Katanya, RBBC merangkumi sebahagian daripada sembilan buah kawasan pentadbiran daerah iaitu,  Kota Kinabalu,  Penampang,  Papar,  Beaufort,  Tenom,  Keningau,  Tambunan,  Ranau dan juga Tuaran.

“Program UNESCO Manusia dan Biosfera (MaB) mengambilkira hubungan di antara manusia dan juga persekitaran.

“Oleh itu,  Rizab Biosfera Banjaran Crocker atau RBBC ini di bahagikan kepada tiga zon utama iaitu Zon Teras,  Zon Penampan dan Zon Peralihan di mana penzonan ini bertujuan untuk mengawal aktiviti manusia di luar kawasan Zon Teras.

“Secara ringkasnya,  Rizab Biosfera ialah satu kawasan geografi daratan yang boleh meliputi sehingga ke pesisir pantai,  diurus melalui pendekatan pembangunan mampan atau pun lestari,” katanya.

Tambahnya, pengurusan lestari menggalakkan pemuliharaan dan pembangunan tanpa memberi impak negatif kepada sumber bekalan air bersih yang datang dari alam semulajadi yang sihat. 

Dalam pada itu, Maklarin berkata, TTS telah diamanahkan oleh Kerajaan Negeri Sabah sebagai agensi pemandu/peneraju dalam pemeliharaan dan pemuliharaan RBBC.

Walau bagaimanapun katanya,  untuk memastikan Rizab tersebut terpelihara dan dipulihara,  maka adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk seiring dengan mandat masing-masing yang telah diamanahkan oleh Kerajaan Negeri Sabah.

“Kerjasama yang jitu ini haruslah kita teruskan dalam memastikan RBBC akan terus berdiri megah dan gagah di mata dunia.  Adalah penting kepada kita semua,  bersama-sama berganding bahu dalam mencapai objektif RBBC agar ianya dapat dimanfaatkan ke arah pembangunan lestari dan perlindungan alam semulajadi yang lebih baik lagi. 

“Adalah diharapkan agar program kita kali ini membuka peluang kepada kita semua mendapatkan maklumat dan pengetahuan dengan lebih jelas berkaitan dengan Rizab Biosfera Banjaran Crocker (RBBC). 

“Sama-samalah kita berkongsi  pengetahuan yang kita terima dan memanjang kepada organisasi kita,  keluarga dan rakan-rakan kita agar sekurang-kurangnya mereka mengetahui bahawa Negara kita,  khasnya Negeri Sabah mempunyai kawasan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Orang ramai dijemput hadir ke pameran khas karya seni Tuan Yang...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular