Bantuan Sosial Sekolah beri manfaat lebih 289,000 murid sekolah rendah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 25 Second

PUTATAN: Lebih 289,000 orang murid dari 1075 buah sekolah rendah di seluruh Sabah menerima impak positif dari inisiatif Kerajaan Negeri menerusi Bantuan Sosial Sekolah (BSS).

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, statistik berkenaan memperlihatkan tanda prihatin Kerajaan Negeri untuk memberi pemelegaan kepada golongan murid yang disasarkan.

Beliau berkata, dengan adanya bantuan tersebut, beban dan perbelanjaan yang ditanggung oleh para ibu bapa atau penjaga boleh diringankan sedikit sebanyak selain memanfaatkan keperluan berikut untuk rutin pembelajaran harian.

“Sebanyak 1075 buah sekolah rendah di seluruh negeri Sabah akan menerima bantuan sosial sekolah pada tahun 2022 ini yang melibatkan lebih 289 ribu orang murid sekolah rendah tidak kira sama ada berstatus B40 ataupun M40 mereka semua layak menerima” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan BSS kepada 8 buah sekolah rendah dalam daerah Putatan di SK Pekan Putatan, di sini pada Jumaat. (14 Okt)

Antara bantuan yang diberikan ialah pakaian seragam sekolah, kasut sekolah, buku latihan dan alat tulis.

Shahelmey mengharapkan agihan BSS itu akan dapat dilaksanakan sebelum akhir tahun akademik 2022 iaitu menjelang hujung tahun ini.

Menurutnya, pihaknya meminta kerjasama daripada beberapa buah sekolah yang mungkin belum mengemaskini data-data pelajar mereka untuk berbuat demikian di sistem D-BaSS bagi tujuan agihan bantuan sosial sekolah.

“Ini agar tiada murid sekolah rendah yang tercicir daripada mendapat bantuan daripada kerajaan ini,” katanya.

Untuk rekod, setakat hari ini sebanyak 88 buah sekolah rendah yang melibatkan seramai 16,500 orang pelajar telah menerima bantuan pakaian seragam dan kasut sekolah.

Hadir sama Pegawai Daerah Putatan; Mokhtar Hussin, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat; Myrna Jimenez, Pengurus Besar KOSAN; Abdul Rahman Laman dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Penampang; Robert John.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *