HomeUtamaPUSPANITA diminta terus memperkasa ahlinya dengan pelbagai ilmu

PUSPANITA diminta terus memperkasa ahlinya dengan pelbagai ilmu

Read Time:2 Minute, 7 Second

KOTA KINABALU: Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) cawangan Sabah diminta terus menganjurkan lebih banyak program yang boleh memperkasakan semua ahlinya dalam pelbagai bidang ilmu seterusnya diturunkan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah Salag, turut melahirkan rasa kagum dengan prestasi dan kecemerlangan PUSPANITA Cawangan Sabah dalam melaksanakan pelbagai program bermanfaat kepada persatuan itu dan ahlinya serta kepada orang ramai.

“Sejajar dengan misi PUSPANITA iaitu memperkasa dan merakyatkan PUSPANITA, saya merakamkan syabas kepada persatuan ini kerana telah mengambil pelbagai inisiatif dan tidak pernah jemu berusaha melaksanakan program bagi memperkasakan
semua ahlinya.

“Ini termasuklah penganjuran kursus, seminar, ceramah dan lawatan sambil belajar, yang saya percaya telah dapat memberikan pendedahan dan meningkatkan pengetahuan kepada ahli-ahlinya dalam pelbagai bidang.

“Sudah tentu usaha merakyatkan PUSPANITA juga turut dilaksanakan, bagi meningkatkan keprihatinan ahlinya dengan mengutamakan keperluan rakyat. Antara aktiviti yang dianjurkan ialah Program “We Help” dan “Love Bank” yang mana PUSPANITA turun padang ke setiap daerah untuk memberi sumbangan kebajikan serta membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Jalinan Mesra Tautan Kasih bersama Penaung PUSPANITA Cawangan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Jumaat.

Juliah yang juga Penaung PUSPANITA Cawangan Sabah, berkata beliau berasa bangga dengan kejayaan persatuan itu yang menerima beberapa anugerah bukan saja peringkat negeri malah kebangsaan.

Katanya, pengiktirafan itu membuktikan bahawa ahli-ahli PUSPANITA mempunyai komitmen dan bersemangat waja sebagai satu pasukan dalam penganjuran setiap program dan aktiviti yang dirancang.

Mengenai majlis itu, Juliah yang juga Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), berkata ia akan menjadi platform untuk mengeratkan silaturahim, berkongsi idea dan pengalaman antara ahli-ahli PUSPANITA dan MUTIARA GRS.

“Harapan saya agar Mutiara GRS dan PUSPANITA akan berganding bahu memberi sokongan dan sumbangan terhadap usaha-usaha Kerajaan membangunkan negeri ini melalui kerja-kerja amal bakti.

“PUSPANITA dan MUTIARA GRS berkongsi beberapa persamaan, iaitu bukan saja bertujuan memperkasakan ahli tetapi juga memanfaatkan tenaga kolektif mereka untuk melakukan penambahbaikan kepada wanita dan masyarakat secara keseluruhan.

“Saya berasa kagum kepada ahli PUSPANITA dan wanita bekerjaya secara keseluruhannya yang mampu bekerja dan mempunyai keluarga. Bukan saja berjaya menguruskan diri dan kerjaya dengan baik malah memastikan setiap keperluan rumah dipenuhi dengan sempurna,” katanya.

Sempena majlis itu, Juliah turut melancarkan Tabung Kasih Puspa Sabah dan menyampaikan sumbangan peribadi kepada tabung berkenaan.

Hadir sama Pengerusi PUSPANITA cawangan Sabah, Datin Seri Dr Nuinda Alias; Timbalan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Sabah, Datin Faridah Jaafar dan Pengerusi Pelaksana Majlis Jalinan Mesra Tautan Kasih
Bersama Penaung PUSPANITA Cawangan Sabah, Majella Tan Marquez.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : 12 elemen penting diberi tumpuan tingkat potensi belia...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya