HomeUtamaKerajaan Negeri sumbang RM2 juta Tabung Penyelidikan UMS

Kerajaan Negeri sumbang RM2 juta Tabung Penyelidikan UMS

Read Time:2 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyumbangkan pembiayaan sebanyak RM2 juta kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi melaksanakan dan meningkatkan kerja-kerja penyelidikan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, penyelidikan membuka peluang baharu untuk pembelajaran dan pertumbuhan selain mahu melihat UMS terus melakukan lebih banyak penyeldikan dalam bidang berkenaan.

Dalam satu pertemuan dengan Naib Canselor UMS yang baharu, Prof Datuk Dr Kasim Md Mansur baru-baru ini, Hajiji telah dimaklumkan bahawa pelbagai program termasuk penyelidikan sedang dilakukan di universiti itu ketika ini.

“Justeru, saya dengan sukacitanya mengumumkan sumbangan Kerajaan Negeri sebanyak RM2 juta kepada dana penyelidikan UMS. Saya berharap ini akan merancakkan lagi agenda penyelidikan universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ikrar Aku Janji sempena minggu orientasi pelajar baharu pengambilan 2022/2023 di Dewan Canselor UMS di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan merangkap Exco Pendidikan Negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif dan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Hajiji yang juga Pro Canselor UMS berkata, sebagai pelapis pemimpin seterusnya, generasi muda mempunyai tanggungjawab untuk melengkapkan diri dengan ilmu, kemahiran dan akhlak yang tinggi dengan adab yang sempurna melalui pendidikan.

Katanya, golongan belia wajar diberikan peluang untuk menggubal dasar pembangunan negara.

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, golongan belia tampil terlibat dalam beberapa pilihan raya negeri di Malaysia yang menunjukkan kesediaan mereka menyumbang dari segi idea dan tenaga dalam membangunkan negara.

“Menyedari hakikat itu, Kerajaan Negeri sentiasa memberi ruang dan peluang kepada belia di Sabah untuk terlibat dalam proses tersebut secara lebih holistik melalui beberapa inisiatif seperti Parlimen Belia Sabah serta program Felo Sabah Maju Jaya di bawah bidang kuasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS),” katanya.

Menurutnya, kumpulan pertama 24 graduan telah dipilih untuk menyertai menyertai program Felo Sabah Maju Jaya selama enam bulan di semua 12 kementerian negeri pada Mac tahun ini.

 “Program itu adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri untuk mengembangkan pembangunan modal insan Sabah.

“Ia juga merupakan peluang untuk golongan belia menyumbang secara positif sekiranya mereka membuat keputusan untuk menceburi bidang politik mahupun membantu membentuk dasar kerajaan pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, pembangunan modal insan adalah satu daripada tiga teras utama dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang diilhamkan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Barisan Nasional (GRS-BN) untuk mengemudi pembangunan Sabah.

Menerusi Bajet Sabah 2022, beliau berkata, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan pembangunan modal insan dan kemakmuran rakyat.

Beliau juga berharap golongan belia akan terlibat dalam proses pilihan raya memandangkan semua  Warganegara Malaysia secara automatik didaftarkan sebagai pemilih apabila mencapai umur 18 tahun.

“Ia bukan hanya kerana anda didaftarkan secara automatik, tetapi menjadi tanggungjawab anda sebagai warganegara Malaysia untuk memilih kerajaan negara,” katanya.

Sementara itu, Hajiji turut menasihati pelajar baharu yang berbeza latar belakang agama dan kaum agar menjadikan UMS sebagai wadah untuk terus mengekalkan dan mengeratkan perpaduan yang terjalin antara mereka.

“Melalui persefahaman sebegini, keharmonian dan perpaduan kaum dan agama akan terjalin. Kita hendaklah sentiasa bersatu hati demi memelihara keamanan dan kemakmuran,” katanya.

 Seramai 4,576 pelajar telah dipilih untuk pengambilan baharu itu yang mana 60.6 peratus atau 2,770 daripadanya adalah dari Sabah dan selebihnya termasuk 1,144 dari negeri lain, 582 dari Sarawak dan 23 pelajar antarabangsa.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan seludup minuman keras bernilai RM450,000, duti, cukai lebih RM1.9 juta...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya