HomeUtamaAnggota 5 Div Tentera Darat diingatkan supaya tidak libatkan diri dalam parti...

Anggota 5 Div Tentera Darat diingatkan supaya tidak libatkan diri dalam parti politik – Abdul Rahman

Read Time:2 Minute, 36 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PUTATAN: Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div), Mejar Jeneral Abdul Rahman A Wahab mengingatkan kepada seluruh warga 5 Divisyen Tentera Darat Malaysia (TDM) di negeri ini supaya tidak melibatkan diri dalam mana-mana parti politik.

Abdul Rahman berkata, sejajar dengan pembubaran Parlimen yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, beliau mengingatkan kepada seluruh warga 5 Divisyen agar tidak melibatkan diri sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan mana-mana parti politik.

“Kita seharusnya berpegang teguh kepada prinsip ketenteraan yang telah digariskan oleh pucuk pimpinan tindakan tatatertib akan dikenakan kepada anggota yang melakukan sebarang pencemaran atau perlanggaran perintah ini.

“Kita tidak mahu anggota dan pegawai secara langsung dan tidak langsung untuk terlibat dalam parti-parti politik yang sudah mula berkempen, mereka (anggota dan pegawai) sepatutnya lebih menumpukan penugasan mereka yang lebih profesional dalam organisasi bukannya untuk berpolitik,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Upacara Perbarisan Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-3 di Padang Kawad Rejimen Ke 6 Artileri Diraja, Kem Lok Kawi dekat sini hari ini.

Mejar Jeneral Abdul Rahman A Wahab (hadapan tengah) bergambar bersama peserta perbarisan semasa upacara Perbarisan Sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-3 di Padang Kawad Rejimen Ke 6 Artileri Diraja, Kem Lok Kawi.

Sementara itu, Abdul Rahman turut berkata 5 Divisyen sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi apa juga sebarang kemungkinan yang berlaku dalam menjaga kedaulatan Negeri Sabah.

“Kita bahagikan kawasan iaitu di kawasan Pantai Barat Sabah kepada 5 Briged dan kawasan Pantai Timur Sabah di bawah naungan 13 Briged, kedua-dua briged ini sudah bersiap sedia dengan tahap kesiagaan yang tinggi untuk menghadapi sebarang kemungkinan serta aset dan juga human resources yang ada pada mereka.

“In sha Allah setakat ini dengan anggota yang kita ada di dalam Sabah adalah cukup untuk mengawal keadaan keselamatan di Sabah demi mempertahankan kedaulatan Negeri Sabah khasnya,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan kesiapsiagaan anggotanya bagi menghadapi monsun Timur Laut seperti bencana banjir dan sebagainya.

“Kita juga telah membuat persiapan sewajarnya berdasarkan aset-aset yang kita telah tetapkan dan kawasan tanggungjawab yang kita tempatkan adalah sama juga dengan kawasan tanggungjawab kita letakkan di bawah Op Neraca, jadi maknanya di bawah naungan 5 Briged dan 13 Briged.

“Mereka saling bantu membantu antara satu sama lain demi melancarkan lagi operasi dan berikutan ramalan kajicuaca terkini, berkemungkinan kita akan diaturgerakkan untuk melaksanakan Op Murni bagi membantu pihak awam dalam memindahkan mangsa-mangsa banjir di seluruh Negeri Sabah.

“Kita akan cuba sedaya upaya kita membantu dan akan sentiasa berada dihadapan terutamanya bila keadaan-keadaan memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, upacara perbarisan terdiri daripada tiga detasmen melibatkan seramai 12 orang pegawai dan 328 orang anggota yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke 3 Rejimen Askar Melayu Diraja, Lt Kol Nur Fahmi Bassar.

Manakala perbarisan diiringi Pancaragam Gabungan 5 Divisyen dibawah pimpinan Drum Mejar, Staf Sarjan Firdaus Wahab dan turut berlangsung adalah acara Pemakaian Pangkat kepada anggota.

Turut hadir Panglima 5 Briged, Brig Jen Saiful Bahari Zainol, Panglima 13 Briged, Brig Jen Suhaimi Shamsuddin, Komander Artileri Divisyen 5 Divisyen, Kol Zamri Esa, Ketua Staf MK 5 Div, Kol Meor Anas Meor Ahmad dan Pegawai-Pegawai Kanan dan warga 5 Divisyen.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : 12 elemen penting diberi tumpuan tingkat potensi belia...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya