PENAMPANG: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Maximus Ongkili mengakui logo parti itu lebih dikenali rakyat Sabah, namun mereka tetap akan menggunakan logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRU15.
Katanya, keputusan menggunakan logo GRS dibuat secara bersama oleh gabungan itu di mana PBS juga salah satu komponennya.
“Sudah pasti (logo PBS lebih dikenali), tapi ini keputusan GRS, jadi kita patuh dengan itu.
“Demi kesatuan dan solidariti, kita akan guna (logo) GRS, kita letakkan GRS sebagai keutamaan,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat parti itu di ibu pejabatnya lapor portal FMT
Pada pilihan raya negeri (PRN) 2020, PBS buat kali pertama sejak 16 tahun telah menggunakan logo mereka sendiri untuk bertanding dan memenangi tujuh kerusi.
Sementara itu, Ongkili berkata setakat ini belum ada kata putus mengenai agihan kerusi dalam kalangan komponen GRS dan Barisan Nasional (BN) untuk PRU15.
“Semalam pun, beliau (Pengerusi GRS Hajiji Noor) tidak mahu beritahu dan sebab itu kita belum tahu berapa GRS akan dapat (kerusi) dan berapa Umno akan dapat serta di mana kerusi itu,” katanya.
Semalam, Hajiji mempengerusikan mesyuarat GRS yang turut dihadiri pemimpin daripada komponen gabungan itu.
Ketika ditemui, Hajiji berkata mesyuarat itu tidak membincangkan soal kerusi dan calon sebaliknya mengenai kerjasama mereka dengan BN serta strategi untuk menghadapi PRU15.