KPDNHEP akan bincang dengan pembekal isu bekalan telur ayam

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 19 Second

BERNAMA
KUALA TERENGGANU — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan berbincang dengan pihak pembekal telur ayam di negara ini bagi menyelesaikan masalah bekalan bahan makanan itu yang disifatkan tidak stabil di pasaran.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata antara yang akan dibincangkann ialah alasan diberikan pihak pengeluar yang mendakwa tempoh kawalan harga siling telur ayam terlalu lama menyebabkan terdapat pengusaha telur ayam menutup perniagaan mereka.

“Alasan yang diberikan oleh pemain industri, saya tidak tahu ia betul atau tidak, adalah kerana kawalan harga siling yang terlalu lama iaitu sepanjang tahun berbanding sebelum ini antara seminggu dan dua minggu khususnya pada musim perayaan. 

“Mereka mendakwa ini menjejaskan rantaian bekalan telur ayam. Bagaimanapun, kerajaan juga mengambil langkah intervensi dengan menyalurkan subsidi telur ayam yang kini dinaikkan kepada lapan sen sebiji,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kempen Beli Barangan Malaysia di sini hari ini.

Rosol berkata kementeriannya turut meminta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memastikan kelancaran tuntutan subsidi itu bagi memastikan ia tidak dijadikan alasan oleh pemain industri dan menjamin bekalan telur sentiasa stabil di pasaran.

“Sebelum ini pun kita ada bincang dengan MAFI untuk penyelesaian sementara, sama ada kita boleh import telur tetapi saya difahamkan harga telur di luar negara pun agak mahal dan mata wang kita juga agak lemah ketika ini,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau mengakui turut menerima rungutan daripada orang ramai mengenai kekurangan bekalan telur ayam sejak kebelakangan ini terutama bagi Gred A, B dan C di kebanyakan kawasan di seluruh negara sehingga menjejaskan golongan peniaga.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *