PRU-15: Pembahagian kerusi GRS, BN dilakukan secara adil

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 23 Second

BELURAN : Wujud perundingan dalam pembahagian kerusi secara adil di antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia adalah bagi memastikan wujud persefahaman politik di negeri ini sekaligus dapat menjamin kestabilan.

“Tentu sekali ada perbincangan yang dibuat antara kepimpinan GRS dan BN.  Saya difahamkan ia melibatkan perbincangan untuk persefahaman politik agar kedua-dua parti ini sama seperti kewujudannya dalam Kerajaan Negeri Sabah.

“Menjelang pilihan raya ini adalah diharapkan agar satu bentuk kerjasama seperti yang dibincangkan oleh peringkat kepimpinan kedua-dua pihak untuk mewujudkan kerjasama politik yang lebih baik untuk PRU-15,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pesta Walet Beluran Sempena Sambutan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) ke-50 di Pasar Tamu Beluran di sini hari ini.

Ronald yang juga penyandang kerusi Parlimen Beluran berkata demikian selepas ditanya berhubung pembahagian jumlah kerusi diantara GRS-BN pada PRU-15.

Katanya, beliau turut berharap kerjasama yang dilaksanakan itu akan dapat meneruskan kestabilan politik di Sabah seterusnya menumpukan kepada usaha membangunkan negeri ini.

Semalam, Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor berkata, GRS pada ketika ini belum memuktamadkan calon yang akan mewakili gabungan itu pada PRU-15.

Katanya Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS yang diadakan semalam juga adalah bagi membincangkan dan menekankan kerjasama dengan BN selain mengaktifkan jentera parti GRS kerjasama dengan BN.

“Calon belum lagi, nanti saya akan umumkan.  Tunggu sahaja.  Mesyuarat ini kita hanya bincang mengenai persiapan pilihan raya.  Parlimen sudah dibubar jadi kita mesti bersedia untuk menghadapi PRU15 termasuk mengaktifkan jentera GRS dan bekerjasama dengan BN,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *