HomeUtamaSumbangan dana penyelidikan bantu tingkat hasil penyeldikan berimpak tinggi

Sumbangan dana penyelidikan bantu tingkat hasil penyeldikan berimpak tinggi

Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Sumbangan dana penyelidikan sebanyak RM2 juta yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor semalam memberi makna kepada Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam meningkatkan lagi hasil penyelidikan berimpak tinggi.

Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, penyelidikan berimpak tinggi itu juga akan dapat membantu menangani dan mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu tempatan yang dihadapi rakyat.

Justeru, beliau dan seluruh pengurusan tertinggi UMS merakamkan penghargaan terima kasih kepada Kerajaan Negeri.

“Semasa rombongan UMS membuat kunjungan hormat kepada Yang Amat Berhormat Datuk Hajiji pada Rabu lalu, saya ada menyatakan bahawa UMS akan terus memperhebatkan aktiviti penyelidikan, antaranya membuat kajian bagi memacu sektor pertanian, perindustrian, dan pelancongan selain melahirkan modal insan yang berdaya saing demi kesejahteraan rakyat.

“Saya tidak menyangka dan berasa terharu apabila Ketua Menteri mengumumkan sumbangan dana dalam jumlah yang cukup besar sebagai sokongan terhadap usaha ini.

“Bagi pihak UMS, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas keprihatinan Kerajaan Negeri, khususnya kepada Yang Amat Berhormat Datuk Hajiji,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Hajiji yang juga Pro Canselor UMS semalam mengumumkan sumbangan dana penyelidikan tersebut ketika berucap pada Majlis Ikrar dan Aku Janji sempena Minggu Suai Mesra Sesi 2022/2023 di Dewan Canselor.

Menurut Kasim, UMS juga akan sentiasa seiring dan menyokong penuh terhadap Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menjadi teras dan hala tuju pentadbiran Kerajaan Negeri.

“UMS sentiasa bersedia memberi khidmat kepakaran dan pandangan untuk bersama-sama menjayakan pelan SMJ ini yang sangat signifikan dalam meningkatkan pembangunan dan taraf hidup rakyat Negeri di Bawah Bayu.

“Sebagai Naib Canselor, saya akan memastikan hubungan baik yang terjalin antara UMS dan Kerajaan Negeri akan terus mekar merangkumi pelbagai aspek bidang kerjasama ke arah Sabah yang lebih maju, aman dan sejahtera,” katanya.

Untuk rekod, Kasim merupakan anak jati Sabah yang baharu dilantik sebagai Naib Canselor UMS yang ke-7 berkuatkuasa 3 Oktober lalu.

RELATED ARTICLES
Utama

Perdana Park masih ditutup atas faktor risiko keselamatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular