Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ir. Idris Mohd Noor

Elakkan aktiviti undang risiko berhampiran talian elektrik

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menasihatkan orang awam untuk sentiasa mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti yang boleh membahayakan diri serta menyumbang kepada gangguan bekalan elektrik.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir. Idris Mohd Noor berkata, apa-apa aktiviti yang dilakukan di bawah atau berdekatan dengan tiang dan talian pembahagian elektrik yang bervoltan tinggi adalah amat merbahaya.

Antara aktiviti berisiko tinggi mengundang renjatan elektrik katanya termasuklah memancing di kawasan kolam atau tasik di bawah talian dan bermain layang-layang atau kapal terbang model kawalan jauh berhampiran talian penghantaran elektrik.

Selain itu katanya, kegiatan curi atau penyambungan bekalan elektrik secara haram dan juga menggunakan tanah di bawah talian penghantaran elektrik untuk tujuan padang permainan, sukan ataupun berkaitan pasar awam turut mengundang risiko renjatan elektrik.

“Semua pencawang dan perpasangan elektrik adalah kawasan yang berisiko terkena renjatan elektrik dan apa jua aktiviti yang dilakukan berhampiran dengannya boleh mengundang bahaya jika mengabaikan faktor keselamatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media ekoran beberapa kejadian renjatan yang berlaku baru-baru ini dan melibatkan kehilangan nyawa orang awam.

Katanya, aktiviti-aktiviti sedemikian boleh mencetuskan renjatan elektrik dan percikan arka (flashover) yang mengundang bahaya, berisiko tinggi, merosakkan harta benda malahan boleh maragut nyawa.

Menurutnya, dalam masa yang sama, SESB turut aktif mempergiatkan program kesedaran tentang keselamatan elektrik dengan menghebahkan langkah-langkah keselamatan yang boleh diambil di media sosial, akhbar dan radio supaya tahap kesedaran awam semakin meningkat.

“Sehubungan dengan itu, SESB memohon jasa baik semua pihak agar mendapatkan kebenaran dan nasihat daripada pihak SESB tentang keperluan yang perlu dipatuhi sebelum sebarang aktiviti yang ingin dilakukan berdekatan dengan pepasangan elektrik milik SESB.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk menghubungi 15454 atau 088-51500 atau Whatsapp terus di talian 019-8525427 untuk membuat laporan atau aduan mengenai aktiviti membahayakan berhampiran pepasangan elektrik SESB, berkenaan dengan tiang tumbang, atau sebarang masalah berkaitan gangguan bekalan elektrik,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *