HomeUtamaPRK DUN Bugaya diadakan serentak dengan PRU-15

PRK DUN Bugaya diadakan serentak dengan PRU-15

Read Time:1 Minute, 51 Second

KOTA KINABALU: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya akan diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dijadualkan pada 19 November depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon bagi kedua-dua pilihan raya itu dijadualkan pada 5 November dan diikuti Hari Mengundi Awal pada 15 November seterusnya Hari Mengundi Biasa empat hari kemudian.

Katanya, tarikh keluar writ pilihan raya adalah pada hari ini iaitu 20 Oktober 2022.

Menurutnya, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung pengisytiharan pembubaran Parlimen penggal yang ke-14 pada 11 Oktober lalu.

“SPR juga telah menerima surat pemakluman berhubung pembubaran DUN bagi tiga negeri iaitu Pahang dan Perlis bertarikh 14 Oktober serta Perak pada 17 Oktober 2022 daripada Speaker DUN masing-masing.

“Seterusnya pemakluman rasmi juga telah diterima daripada Speaker DUN Sabah setelah Proklamasi Darurat (No.3), dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.3) dibatalkan, mengenai kekosongan DUN 66 Bugaya Sabah pada 12 Oktober 2022.

“Sehubungan itu, SPR telah mengadakan Mesyuarat Khas pada hari ini dan memutuskan satu PRU Ke-15 hendaklah diadakan bagi mengisi kekosongan 222 kerusi Dewan Rakyat, serta 42 kerusi DUN Pahang, 15 kerusi DUN Perlis, dan 59 kerusi DUN Perak.

“Pada masa yang sama, PRK DUN Bugaya, Sabah juga akan diadakan serentak bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut,” katanya pada sidang media di Putrajaya di sini hari ini.

Menurutnya, tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 5 November 2022 (Sabtu) sehingga pukul 11.59 malam, 18 November 2022 (Jumaat).

Dalam pada itu, Abdul Ghani berkata, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara telah dibuka bermula daripada 10 Oktober untuk PRU Ke-15 dan daripada 13 Oktober bagi PRK DUN Bugaya, Sabah.

Katanya, tarikh tutup bagi kategori 1A (Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera, dan Petugas Media) adalah pada 2 November (Rabu).

“Manakala bagi kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) pula adalah pada 23 Oktober (Ahad) dan kategori 1C (Agensi / Organisasi) 26 Oktober (Rabu).

“Permohonan undi pos untuk kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan Kategori 1C (Agensi / Organisasi) dilaksanakan secara dalam talian (online),” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Pesta Makan Tahun Kadayan Sabah jana pendapatan kepada peniaga, usahawan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular