HomeUtamaHajiji umum tambahan RM6 juta geran tahunan untuk YSCT

Hajiji umum tambahan RM6 juta geran tahunan untuk YSCT

Read Time:1 Minute, 53 Second

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini, mengumumkan kelulusan geran tahunan sebanyak RM6 juta kepada Kolej Teknologi Yayasan Sabah (YSCT) sebagai tambahan kepada pembiayaan sedia ada, untuk kos operasi kolej itu.

Di samping itu, Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan menyediakan kuota biasiswa khas tahunan daripada Tabung Pendidikan Sabah (TPNS) kepada 100 pelajar YSCT, selain meluluskan RM500,000 untuk menaik taraf kemudahan pembelajaran maklumat dan komunikasi (ICT) YSCT.

Hajiji yang juga pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, bantuan one-off sebanyak RM500 akan diberikan sebagai insentif kepada semua pegawai dan kakitangan YSCT yang akan dibayar pada Disember tahun ini.

Hajiji mengumumkan perkara itu pada konvokesyen ke-25 YSCT yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Khamis. (20 Okt)

Dengan bantuan ini, Hajiji berharap YSCT akan melahirkan graduan yang mempunyai latihan dan kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi permintaan tenaga kerja di negeri ini.

“”Kerajaan Negeri akan terus memberi penekanan kepada pembangunan modal insan khususnya dalam kalangan belia. Sementara itu, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) yang kini menerima pelaburan asing berimpak tinggi memberi peluang pekerjaan kepada graduan yang mempunyai kemahiran teknikal termasuk dari YSCT untuk bekerja dalam sektor pembuatan dan perindustrian,” katanya.

Menurutnya, memandangkan golongan belia sangat dekat di hatinya, Kerajaan Negeri di bawah pimpinannya telah meluluskan pelbagai bantuan dan peruntukan untuk kepentingan mereka.

Antaranya ialah penubuhan TPNS, Bantuan Tunai Pendaftaran Institusi Pengajian Tinggi (Budi) dan Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (Bakti).

“Kerajaan juga komited untuk membantu belia melalui kementerian berkaitan dalam pembangunan usahawan belia Sabah (Syabas) serta Skim Usahawan Siswazah (SUS) dan Skim Usahawan Teknikal (SUK) untuk graduan institusi pengajian tinggi di bawah pengurusan Sedco,” katanya.

Tambah beliau, beberapa kementerian dan agensi antaranya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Jabatan Pembangunan Sumber Manusia juga telah diamanahkan untuk mengendalikan kursus berkaitan teknologi dan kemahiran untuk belia kerana pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat merupakan teras kedua Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Saya menyeru kepada semua graduan supaya tidak melepaskan peluang yang disediakan kerajaan. Saya juga menyeru kepada semua kakitangan YSCT untuk terus bekerja keras dalam pembangunan modal insan Sabah,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong, Pengarah Yayasan Sabah dan Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Gulamhaidar Khan Bahadar dan Ketua Eksekutif YSCT Samin Ongki.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular