KOTA KINABALU: Pusat Kraftangan Sabah (PKS) melaksanakan sebanyak 1,066 program dengan peruntukan berjumlah RM47.2 juta, yang memberi manfaat kepada 22,038 peserta sepanjang tempoh 2011 hingga 2026.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pencapaian itu membuktikan pembangunan industri kraf bukan sahaja berperanan memelihara khazanah budaya, malah turut membuka peluang ekonomi kepada rakyat.
“Angka ini menunjukkan bahawa pembangunan industri kraf bukan sekadar memelihara khazanah, tetapi turut membuka ruang ekonomi kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Apresiasi dan Penutupan Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah Sesi 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Rabu.

Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan tahun ini bagi melaksanakan 29 program PKS yang membabitkan 200 peserta kumpulan sasar.
Katanya, Sabah memiliki khazanah budaya yang kaya menerusi pelbagai hasil kraf tangan termasuk tenunan, batik, anyaman buluh dan rotan serta manik yang perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda.
Beliau berkata, pembangunan modal insan juga perlu bergerak seiring perubahan teknologi, landskap pekerjaan dan keperluan industri bagi memastikan anak negeri mempunyai ilmu serta kemahiran untuk menyesuaikan diri, berinovasi dan merebut peluang ekonomi.
“Pendidikan, latihan, bimbingan, keusahawanan dan akses kepada pasaran perlu saling melengkapi supaya kemahiran yang dipelajari dapat diterjemahkan kepada produk, perniagaan, pendapatan dan pembangunan ekonomi masyarakat,” katanya.
Menurutnya, penyertaan batik dan cetakan digital PKS dalam peragaan fesyen KPDN Presents: Fashion Forward Batik Malaysia sempena Kuala Lumpur Fashion Week 2026 membuktikan kreativiti serta hasil kerja anak Sabah berpotensi diketengahkan ke peringkat lebih luas.
Usaha memperkukuh industri kraf tangan itu turut diperkasakan menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Sabah melalui PKS dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).
Ia turut disusuli penyerahan surat hasrat (LOI) kepada Yayasan Sabah daripada Politeknik Kota Kinabalu, All-Party Parliamentary Group Malaysia on Sustainable Development Goals (APPGM-SDG) dan Sugee Group Sdn Bhd.
Dalam pada itu, Hajiji turut mengalu-alukan penglibatan institusi pendidikan seperti Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF) dalam pelaksanaan PKAN.
Katanya, KTYS melaksanakan 93 program dengan peruntukan RM15.01 juta yang melibatkan 1,936 peserta bagi tempoh 2016 hingga 2026.
Antara program dilaksanakan ialah Program Gerak Cemerlang SPM (GeCerSPM) yang memberi tumpuan kepada peningkatan pencapaian pelajar dalam mata pelajaran kritikal Matematik dan Sains.
Program membabitkan tiga sekolah dengan kuota 200 pelajar itu menunjukkan peningkatan kadar kelulusan daripada 35 peratus kepada 98 peratus bagi SPM 2025.
Susulan pencapaian itu, penyertaan program berkenaan diperluaskan kepada 300 pelajar daripada enam sekolah tahun ini.
Selain itu, Program Gerak Ekonomi Makanan Inovasi Laut (GEMILAU) turut dilaksanakan bagi memperkasa ekonomi golongan rentan menerusi kemahiran pemprosesan makanan berasaskan hasil laut.
Menerusi program itu, seramai 43 daripada 89 peserta berjaya meningkatkan pendapatan masing-masing.
Sementara itu, UCSF menerusi PKAN Sabah 2026 melaksanakan program Eksplorasi dan Pemerkasaan Teknologi, Kesenian dan Keusahawanan (ExPERTISE) dengan peruntukan RM750,000 bagi 11 program yang melibatkan 314 peserta dalam kalangan belia dan komuniti anak negeri Sabah.
Hajiji berkata, antara program dilaksanakan tahun ini ialah Sijil Pembantu Perawatan Pesakit (PCA) dengan kerjasama Kolej Universiti Institut Jantung Negara (IJNUC).
Menerusi program itu, seramai 13 pelajar mendapat penempatan latihan kerja selama tiga bulan di Institut Jantung Negara (IJN) dan klinik swasta di Sabah.
Selain itu, program BRIDGE (Building Resources, Inclusivity, Development and Growth in Communities) turut berjaya dilaksanakan menerusi sembilan program yang merangkumi bidang seni dan kraf, pelancongan dan hospitaliti, kecerdasan buatan (AI), sains dan teknologi serta pertanian.
Program jangkauan itu membabitkan 292 peserta dari beberapa daerah termasuk Sipitang, Semporna, Pulau Banggi, Keningau, Ranau, Kota Belud, Kota Marudu dan Kota Kinabatangan.
Beliau berkata, bagi tempoh 2015 hingga 2025, UCSF telah melaksanakan 85 program dengan peruntukan RM11.7 juta yang memberi manfaat kepada 1,842 peserta.
Hajiji memberi jaminan Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh usaha memastikan pembangunan Sabah sentiasa berpaksikan rakyat, selain memastikan lebih banyak peluang dibuka kepada masyarakat untuk meningkatkan kemahiran dan taraf hidup.



