HomeUtamaHWKKS berjaya pisahkan kembar Siam kedua di Sabah

HWKKS berjaya pisahkan kembar Siam kedua di Sabah

Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU: Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) berjaya melaksanakan pembedahan pemisahan bayi kembar Siam jenis pygopagus buat kali kedua di negeri ini pada 17 September lalu.

Kejayaan itu menyusuli pembedahan pemisahan pertama yang dilakukan pada 2 Julai 2026, sekali gus membuktikan keupayaan pasukan perubatan tempatan mengendalikan prosedur kompleks dan berisiko tinggi.

HWKKS dalam satu kenyataan memaklumkan, pasangan bayi kembar lelaki itu dilahirkan dengan keadaan bercantum pada bahagian belakang badan, membabitkan tulang belakang bawah, sakrum dan pelvis.

Mereka dikesan ketika pemeriksaan antenatal sebelum dilahirkan menerusi pembedahan Caesarean kecemasan pada usia kandungan 32 minggu, sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) untuk pemantauan.

Pada awalnya, pembedahan pemisahan dirancang apabila bayi berusia empat hingga enam bulan bagi membolehkan keadaan mereka lebih stabil.

Bagaimanapun, keperluan peningkatan bantuan pernafasan oleh salah seorang bayi menyebabkan pasukan perubatan mengambil keputusan mempercepatkan pembedahan yang akhirnya dilakukan pada hari ke-40 selepas kelahiran.

Prosedur itu membabitkan kerjasama kepakaran antara HWKKS, Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur, Hospital Umum Sarawak (HUS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pasukan Pembedahan Pediatrik mengetuai proses pemisahan yang turut membabitkan pembinaan semula lantai pelvis, pembentukan saluran dubur baharu serta pemulihan saluran kencing.

Pasukan Neurosurgeri pula melaksanakan pemetaan dan pemisahan struktur saraf pada bahagian sakrum bagi melindungi fungsi saraf tunjang serta keupayaan pergerakan kaki kedua-dua bayi.

Pasukan Neurosurgeri HWKKS diketuai Dr Ahmad Zulfadli Mohamed Radzi, manakala Unit Neurosurgeri Brain & Spine UMS diketuai Dr Hezry Abu Hasan. Pembedahan itu turut mendapat sokongan Perunding Pakar Bedah Saraf Pediatrik HTA, Dr Fadzlishah Johanabas Rosli.

Selain itu, pasukan Anestesiologi, Neonatologi, Obstetrik dan Ginekologi serta Radiologi turut memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran prosedur berkenaan, termasuk penjagaan sebelum dan selepas pembedahan.

Kedua-dua bayi berjaya dipisahkan dengan selamat dan kini masih menerima pemantauan rapi daripada pasukan rawatan neonatologi.

Kejayaan itu membuktikan keupayaan Sabah melaksanakan pembedahan pediatrik berisiko tinggi tanpa memerlukan pemindahan pesakit ke Semenanjung.

Ia juga membolehkan tindakan perubatan dilakukan dengan segera sekiranya berlaku komplikasi, selain memberi peluang kepada keluarga untuk berada dekat dengan bayi sepanjang tempoh rawatan.

RELATED ARTICLES
Utama

Hujan berterusan dijangka landa tiga kawasan di Sabah hingga Khamis

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular