HomeUtamaSPR,JPN diminta beri penjelasan isu lonjakan pengundi baharu di Sabah

SPR,JPN diminta beri penjelasan isu lonjakan pengundi baharu di Sabah

Read Time:1 Minute, 39 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

TENOM:  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) diminta untuk memberi penjelasan berhubung lonjakan pengundi baharu di Sabah yang dilihat meragukan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Negeri Sabah pada Rabu lalu dan meminta agar SPR dan JPN memberi penjelasan pada Selasa depan.

Katanya, lonjakan jumlah pengundi baharu yang terkandung dalam daftar pemilih terbaharu yang dikeluarkan SPR di semua kawasan Parlimen di Sabah adalah meragukan.

“Ada sesuatu yang meragukan kita dan kita sudah bincang di peringkat Kabinet pada Rabu lalu. Kita mahu minta penjelasan daripada SPR dan Pengarah JPN pada Selasa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Tenom sempena Program Jelajah GRS Kawasan Tenom, di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Maximus Ongkili; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Penyelaras GRS Tenom, Datuk Rubin Balang.  

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, lonjakan pengundi baharu yang kebanyakannya didaftarkan sebagai Melayu dalam daftar pemilih terbaharu SPR mungkin bukan berasal dari negeri ini atau Semenanjung.

Katanya, perkara yang meragukan itu perlu dijelaskan oleh SPR kerana ia bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.

“Ini tidak boleh dipandang mudah. Orang lain nanti datang ke kawasan kita. Kita tidak mahu orang dapat kuasa dari peti undi dengan cara ini, sebab itu kita buat laporan dengan pihak yang berkenaan,”katanya.

Hajiji berkata pihaknya akan mendapatkan penjelasan SPR berhubung lonjakan jumlah pengundi di Sabah selepas perkara itu dibangkitkan rakan parti dalam GRS, termasuk Jeffrey.

Berdasarkan daftar pemilih terbaharu yang dikeluarkan SPR, Sabah kini mempunyai 1.68 juta orang pengundi berbanding 1.1 juta orang pada 2018 iaitu peningkatan 53.9 peratus.

Daftar pemilih yang diwartakan pada Julai lalu menunjukkan Parlimen Sepanggar mencatat jumlah pengundi tertinggi dengan 107,463 pengundi, diikuti Lahad Datu (99,741) dan Tawau (87,189).

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki hilang, disyaki dibaham buaya selepas bot karam di Sg Kg...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular