HomeUtamaMAFI cadang laksana SKTM di negeri lain pada masa akan datang

MAFI cadang laksana SKTM di negeri lain pada masa akan datang

Read Time:2 Minute, 14 Second

TELUPID- Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berhasrat melaksanakan Program Semarak Tani Keluarga Malaysia (STKM) secara berterusan termasuk di daerah dan negeri lain pada masa akan datang.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, ia merupakan usaha kementerian bagi membantu pengusaha kecil dan sederhana termasuk di daerah yang kecil.

“Cadangan melaksanakan program ini secara berterusan bagi membolehkan pengusaha kecil dan sederhana dapat meningkatkan pendapatan ekonomi mereka.

“Program ini program baharu secara kebetulan di Parlimen Beluran. Mungkin selepas ini negeri Kelantan pula akan menyusul melalui program SKTM ini,” katanya kepada pemberita dalam Program STKM yang diadakan di Telupid hari ini.

Program Semarak Tani Keluarga Malaysia (STKM) dirangka antara lain bertujuan untuk membantu memperkasa komuniti agromakanan luar bandar selain menyampaikan maklumat tentang pendekatan serta dasar-dasar terkini kerajaan secara terus kepada rakyat di peringkat lapangan.

Program STKM yang diadakan di Telupid pada kali ini diadakan selama tiga hari di Tapak Pasar Tamu Telupid bermula semalam dengan pelbagai aktiviti diadakan seperti Karnival My Best Buy Keluarga Malaysia, Kenduri Rakyat, Karnival Sukan Rakyat dan lain-lain.

“Program ini tentu sekali akan meningkatkan semangat usaha mereka untuk meningkatkan pengeluaran bekalan makanan negara dan meningkatkan ekonomi di kalangan pengusaha kecil pertanian di luar bandar,” katanya.

Sehingga September 2022, MAFI melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah berjaya mencatatkan nilai jualan RM1.564 bilion dan membangunkan 2,250 pembangunan outlet melibatkan seramai 55,572 usahawan di seluruh negara.

Antaranya program pengukuhan rangkaian peruncitan Pasar Tamu di Sabah dan Sarawak yang melibatkan projek menaiktaraf Pasar Tamu dengan matlamat untuk mentransformasikan Pasar Tamu tanpa menghilangkan identiti keunikannya.

Berdasarkan rekod sehingga September, sebanyak sepuluh (10) lokasi Pasar Tamu telah dinaiktaraf iaitu lapan (8) lokasi Pasar Tamu telah beroperasi, manakala dua (2) lokasi Pasar Tamu masih di peringkat pembinaan iaitu di Tuaran, Sabah dan Sebuyau, Sarawak.

Di bawah RMKe-12, FAMA telah mengenalpasti tapak Pasar Tamu Tuaran di Sabah sebagai lokasi untuk dinaiktaraf pada tahun 2022 yang juga telah mendapat persetujuan daripada pihak Majlis Daerah Tuaran.

FAMA juga komited untuk terus membangunkan rantaian pemasaran pertanian di daerah Telupid melalui beberapa projek pembangunan termasuk penubuhan sebuah Pasar Tamu Telupid serta membangunkan Pusat Pengumpulan Ladang dan Gerai Buah-Buahan Segar.

“Dengan pembangunan yang telah dikenalpasti ini, semestinya akan memberi manfaat kepada rakyat Telupid dan sekali gus membangunkan sektor pertanian daerah Telupid supaya rantaian pemasaran pertanian di negeri Sabah terus diperkasa,” katanya,

Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan bantuan Kit MAFI Prihatin kepada 500 orang penerima dan menyerahkan peralatan usahawan Ladang Kontrak serta bantuan peralatan dari Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

Beliau juga turut menyaksikan perjanjian persefahaman (MoU) antara usahawan dan FAMA bagi pemasaran buah pamelo serta MoU antara pengeksport dan FAMA bagi pemasaran pisang.

RELATED ARTICLES
Utama

22 rumah musnah dalam kebakaran di Batu 3 Sandakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya