Sebahagian tanah SFI dijadikan rizab perkampungan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 9 Second

Oleh ERDIE AB WAHID

TENOM : Kerajaan negeri akan mengeluarkan sebahagian tanah dalam kawasan Sabah Forest Industries (SFI) untuk dijadikan sebagai rizab kampung untuk rakyat di daerah ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan perkara itu pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Parlimen Tenom, di sini, hari ini.

“Saya ingin memaklumkan bahawa kita akan mengeluarkan sebahagian tanah di kawasan SFI untuk menjadi rizab perkampungan.

“Ini juga adalah bagi memastikan rakyat kita yang tinggal di kawasan berkenaan mendapat kawasan perkampungan rasmi untuk anak cucu mereka,” katanya.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Maximus Ongkili; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Penyelaras GRS Tenom, Datuk Rubin Balang

Dalam pada itu, Hajiji meminta rakyat Sabah agar menolak parti pembangkang khususnya Parti  Warisan dan pengikutnya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.

“Undilah calon GRS supaya kita dapat melakukan yang terbaik dalam perjuangan mempertahankan hak dan kepentingan rakyat dan negeri Sabah. Supaya aspirasi rakyat dapat kita tunaikan.

“Tunjukkan melalui undi bahawa rakyat Sabah sudah sedar dan boleh bersatu dalam GRS. Rakyat mesti menyokong dan mengundi calon-calon GRS, agar kita dapat menang dengan cemerlang dalam PRU-15,” katanya.

Pada majlis itu juga, Hajiji menerima kemasukan lebih 1,000 penyokong Parti Warisan  dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang beralih menyokong GRS di Tenom.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *