PAITAN : Penggabungan parti politik dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) penting sebagai platform terbaik untuk menyuarakan kehendak dan aspirasi Sabah kepada Kerajaan Persekutuan.
Pengerusi GRS Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, negeri ini memerlukan satu gabungan parti politik yang mantap agar Sabah tidak diabaikan seterusnya mengangkat soal pembangunan kepada rakyat.
Katanya, gabungan parti-parti politik dalam GRS ini juga menjadi landasan terbaik untuk Sabah memperjuangkan beberapa perkara yang belum ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kita mahu dana pembangunan yang banyak disalurkan di kawasan kita supaya melalui suara politik yang kuat, perkara-perkara yang kita kehendaki itu dapat dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya pada Jelajah GRS Dewan Undangan Negeri (DUN) Sugut di Pentas Rakyat Daerah Kecil Paitan, di sini semalam.
Lebih 1,000 orang hadir pada program tersebut yang turut dihadiri Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Beluran Samad Jambri, Timbalan Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Sugut Jamika Jeppy, Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sugut Rasipah Nasir dan Ketua Bahagian Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Sugut Jamri Sabu.
Ronald yang juga Naib Presiden BERSATU berkata, permintaan-permintaan daripada Sabah dan Sarawak ini kini lebih jelas didengar dan direstui oleh Kerajaan Persekutuan.
Katanya, bagi Sabah memang sudah ada kehendak dan aspirasi ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan, namun masih ada beberapa permintaan perlu diperjuangkan untuk pembangunan negeri ini dan kesejahteraan rakyat.
Ketika menyentuh pembangunan di kawasan Parlimen Beluran, Ronald menjelaskan usaha itu tidak berhenti dan terus diperjuangkan disebabkan masih ada kawasan khususnya di luar bandar memerlukan perhatian oleh kerajaan terutamanya berkaitan prasarana antaranya jalan raya, sekolah daif dan bekalan air.
“Memang ada usaha-usaha dilakukan dalam aspek pembangunan dilaksanakan di Beluran untuk kesejahteraan rakyat tetapi ia masih belum mencukupi dan perlu diteruskan.
“Sebab itu kita harus terus kekal, untuk menyokong kerajaan di peringkat negeri dan peringkat persekutuan, supaya hasrat kita ini dapat kita langsungkan untuk tempoh lima tahun akan datang ini,” katanya.