Muafakat dan perpaduan rakyat tunjang kejayaan negara – V.Jothi

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU: Permuafakatan dan kerjasama berterusan antara semua rakyat di negeri ini tanpa mengira bangsa adalah tunjang kejayaan kepada negara.

Presiden Dewan Perniagaan India Sabah (DPIS), Datuk V. Jothi berkata, sejak empat tahun yang lalu perayaan Deepavali tidak dapat diraikan secara meriah kerana pandemik covid-19, keadaannya telah berubah pada tahun ini dan Deepavali tahun ini disambut dengan lebih meriah dalam suasana norma baharu.

“Peribahasa Melayu menyatakan, “Bulat Air Kerana Pembentung, Bulat Manusia Kerana Muafakat. Hanya permuafakatan dan kerjasama berterusan antara kita semua tanpa mengira bangsa adalah tunjang kejayaan kepada negara kita yang dicintai.

“Berpegang kepada prinsip inilah Kerajaan negeri Sabah di bawah naungan Datuk Seri telah memberikan mandat dan tanggungjawab kepada DPIS untuk menganjurkan majlis ini Bersama-sama dengan kerajaan negeri Sabah,” katanya semasa berucap pada Majlis Ramah Mesra Sempena Sambutan Hari Deepavali 2022, Anjuran Kerajaan Negeri Sabah Dan Dewan Perniagaan India Sabah di Magellan Sutera Resort, di sini hari ini.
.
V.Jothi berkata, Kerajaan Negeri Sabah amat prihatin bahawa perayaan-perayaan seumpama ini merupakan tunjang kemakmuran negara, justeru perpaduan dalam kepelbagaian (unity in diversity) yang berteraskan ‘model integrasi’ inilah yang dihasratkan untuk rakyat Sabah.

“Kerajaan Negeri Sabah yang bertunjangkan konsep Sabah Maju Jaya amat sedar akan hakikat bahawa perpaduan adalah asas yang utama untuk membina sebuah negeri yang aman, makmur dan sejahtera seperti yang tertera dalam objektif pelan 1.0 Sabah Maju Jaya.

“Dalam konteks negara Malaysia yang terdiri daripada bangsa yang berbilang kaum, sudah semestinya kita bertuah kerana dapat bersama-sama berkongsi dan menikmati bersama lebih daripada satu perayaan besar dalam setahun,” katanya.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor seterusnya bersama-sama menyampaikan penyerahan Angpau kepada Anak Yatim dan Orang-Orang Buta, menyempurnakan acara Menyalakan Lampu (Kathuvilakku) dan Memotong Kek Sempena Hari Deepavali Tahun 2022 selain disajikan persembahan kebudayaan masyarakat India.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Shahelmey Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *