Sijil Bersih MUIS beri keyakinan kepada masyarakat tunai zakat, wakaf

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 28 Second

KUALA LUMPUR : Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menerima Sijil Bersih MUIS buat kali ketiga yang diberikan oleh Jabatan Audit Negara (JAN).

Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penyelarasan Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sijil itu adalah pengiktirafan bagi tahun 2021 selepas menerima sijil yang sama pada 2020.

“Baru-baru ini saya dan agensi agama Islam Sabah mengadakan kunjungan kepada Ketua Audit Negara Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid di Putrajaya.

“Pada majlis itu, kami menerima Sijil Bersih MUIS bagi tahun 2021 dan pada tahun lalu saya bersama  pegawai kanan agensi agama Islam hadir untuk menerima Sijil Bersih MUIS bagi tahun 2020 demi memberikan sokongan dan dorongan semangat kepada pimpinan dan staf agensi agama ini,” katanya.

Mohd Arifin turut mengucapkan tahniah kepada semua kakitangan MUIS atas pencapaian prestasi yang cemerlang dalam pengurusan kewangan buat kali ketiga berturut-turut.

Katanya, pencapaian itu adalah hasil kerja keras yang diteruskan oleh kakitangan MUIS serta ditambah baik dari para pemimpin dan pentadbir yang terdahulu.

“Saya harap kejayaan berganda tersebut dapat menyuntik semangat untuk lebih cemerlang dalam mempertahankan dan meneruskan prestasi kejayaan cemerlang dalam bidang yang lain.

“Apa yang penting Sijil Bersih dan ISO yang telah diperoleh dapat meningkatkan keyakinan masyarakat kepada MUIS dalam berurusan khasnya dalam menunaikan zakat dan wakaf kepada MUIS,” katanya.

Sementara itu, Mohd Arifin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Audit Negara kerana sentiasa membimbing, memberi tunjuk ajar dan panduan-panduan bermanfaat dalam langkah MUIS mengurus dan mentadbir organisasi dengan baik dan berkesan.

“Saya selalu tegaskan bahawa rakan-rakan dalam Audit Negara bukan kerja mereka untuk mencari-cari salah tetapi ingin bersama kita memberi solusi Islah.

“Terima kasih Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid dan pimpinan Audit Negara termasuk Jabatan Audit Negara Cawangan Sabah yang sentiasa membantu kami,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *