Dua warga asing ditahan, kes aktiviti bom ikan & miliki dadah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 47 Second

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu telah berjaya menahan dua warga asing yang disyaki melakukan aktiviti bom ikan di sekitar perairan Tabawan-Kunak.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, kejadian berlaku semasa pihaknya melakukan rondaan rutin sebelum bot peronda Maritim Malaysia mengesan pergerakan mencurigakan sebuah pam bot kira-kira jam 4.00 petang semalam.

Katanya, hasil maklumat perisikan dan aduan awam, sebuah pam bot tidak bernombor bersama muatan berisi ikan pelbagai telah berjaya ditahan di lokasi sekitar 1.7 batu nautika Utara Kampung Pangi, Kunak.

“Manakala ikan-ikan yang ditangkap dipercayai telah dibom hasil pemeriksaan ke atas ikan-ikan tersebut.

“Turut dijumpai sebuah kompresor yang dipercayai digunakan untuk menyelam bagi memasang bom di dasar laut. Namun begitu, tiada bahan letupan dijumpai kerana suspek bertindak membuang bahan letupan ke laut apabila bot Maritim Malaysia cuba menghampiri mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nik Mohd Rizam, salah seorang suspek juga bertindak agresif ke atas anggota Maritim Malaysia yang menjalankan tugas untuk mengelak daripada ditahan. Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot tersebut, telah dijumpai paket lutsinar berisi hablur kristal yang dipercayai adalah syabu berat 0.1gram.

“Pam bot dan kedua-dua suspek telah ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Lahad Datu dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan.lanjut.

“Kes Dadah akan diserahkan pada Narkotik Polis IPD Kunak. Kedua-dua suspek berumur 35 dan 49 tahun. Seorang warga Bajau dan seorang lagi warga Palauh.

“Kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.,” katanya.

Beliau berkata, Zon Maritim Lahad Datu akan terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar pulau di perairan Lahad Datu.

“Ini bukan kali pertama aktiviti bom ikan ini berlaku. Banyak aduan awam telah diterima mengenai aktiviti ini. Aktiviti bom ikan ini perlu dibanteras kerana telah merosakkan ekosistem laut. Banyak ikan-ikan yang mati dan terumbu yang rosak akibat daripada bom yang diletupkan.

“Maritim Malaysia menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarangnmaklumat berkaitan aktiviti bom ikan atau lain-lain kegiatan jenayah maritim untuk menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu di talian 089-885727atau
MERS 999,” tambahnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *