Oleh NORMIMIE DIUN
KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor telah mengarahkan jentera parti masing-masing di kawasan-kawasan pusat mengundi bagi meneliti dan melihat pengundi-pengundi sama ada ia datang dari kawasan tersebut atau tidak.
Ini adalah susulan daripada jumlah pengundi baharu yang melonjak secara mendadak didedahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Sabah baru-baru ini.
Hajiji berkata, pihaknya masih meneliti jumlah pengundi-pengundi baharu yang meragukan itu.
“Kita masih meneliti pengundi-pengundi yang meragukan ini, kita pun telah mengarahkan jentera parti masing-masing di kawasan untuk meneliti dan melihat pengundi-pengundi sama ada ianya datang dari kawasan tersebut ataupun dari mana-mana kawasan lain.
“Penelitian akan dibuat oleh jentera parti di daerah masing-masing kerana mereka saja tahu, mereka yang tinggal di sana berpuluh-puluh tahun siapa pengundi di sana di kawasan mereka,’ katanya.
Hajiji berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pra-pelancaran Minyak Masak “Sayang” keluaran Sawit Kinabalu di Anjung Selera, Teluk Likas pada Rabu.