Tiga bungkusan syabu ditinggalkan dalam bot

Read Time:1 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya merampas tiga bungkusan berisi dadah jenis syabu di dalam sebuah bot yang ditinggalkan di kedudukan 0.20 batu nautika barat laut, Sutera Habour di sini semalam.

Dadah itu ditemui dalam satu operasi yang dijalankan Maritim Malaysia kira-kira jam 10 malam.

Pengarah Maritim Malaysia Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, bot itu ditemui pasukan peronda yang ditugaskan untuk melaksanakan ‘snap check’ dan pemantauan di kawasan-kawasan panas.

“Antara kawasan yang menjadi tumpuan adalah di sekitar perairan selatan Pulau Gaya ke Tanjung Aru.

“Ketika sedang melaksanakan rondaan, bot peronda telah mengesan sebuah bot bergerak dalam keadaan mencurigakan serta bergelap dari Sutera Habour.  

“Sejurus merapat ke bot tersebut didapati bot tersebut tiada pemandu dan disyaki telah terjun ke laut melarikan diri ke daratan berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Rosli berkata, pemeriksaan ke atas bot tanpa nombor pendaftaran terbabit menemui tiga bungkusan dadah jenis syabu dengan anggaran berat 70 gram disorokkan di dalam sebuah bekas.

Katanya, bot seterusnya dirampas dan dibawa ke Jeti Maritim Sepanggar dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut dan kes disiasat dibawah Akta Dadah Berbahaya 1952. – SABAH MEDIA / EAW

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.