HomePendapatMemodernisasi aset ketenteraan langkah memperkukuh keselamatan negara - Ruslan

Memodernisasi aset ketenteraan langkah memperkukuh keselamatan negara – Ruslan

Read Time:1 Minute, 46 Second

BEAUFORT: Malaysia perlu meningkatkan keupayaan pertahanan dengan memodernisasi aset ketenteraan sebagai langkah memperkukuhkan keselamatan dan kedaulatan negara khususnya di perairan Laut China Selatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharram berkata, aset kententeraan sedia ada sudah terlalu lama dan tidak mampu memenuhi keupayaan yang diperlukan bagi menghadapi ancaman ketenteraan moden.

Katanya, siri pencerobohan tentera China di perairan Sabah dan Sarawak di Laut China Selatan menjadi isyarat Malaysia perlu tingkatkan keupayaan aset ketenteraan sebagai langkah memperkukuh dan melindungi kedaulatan negara.

“Pelbagai ancaman terkini berlaku mutakhir ini sebagaimana banyak dilaporkan media tempatan antaranya pencerobohan berterusan China di Laut China Selatan dan penemuan serpihan roket di Sarawak, ini termasuk risiko ancaman berterusan ekoran pencerobohan ruang udara Malaysia Timur oleh jet pejuang China.

“Justeru, tumpuan dan bajet khusus wajar diperuntukkan bagi meningkatkan keupayaan aset ketenteraan kita untuk memastikan kepentingan dan kedaulatan negara di Laut China Selatan terpelihara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Ruslan, Malaysia wajar mengambil tindakan sama seperti negara-negara jiran yang telah menyediakan peruntukan besar bagi meningkatkan keselamatan menerusi pelan modernisasi ketenteraan.

Katanya, inisiatif negara seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam itu sebagai langkah memperkasa keselamatan di perairan masing-masing susulan ancaman sama diterima di Laut China Selatan.

“Indonesia sebagaimana dilaporkan media asing telah berbelanja sehingga USD125 billion dalam pelan modernisasi ketenteraan manakala Thailand di sebalik kemelut pandemik Covid-19 telah membelanjakan sehingga USD7 billion setahun secara purata bagi lima tahun ke belakang bagi perolehan ketenteraan.

“Sementara, Vietnam yang sebelumnya jauh ketinggalan di belakang Malaysia kini mampu berbelanja sehingga USD5.5 billion bagi peruntukan keselamatan negara,” katanya.

Ruslan yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata, Malaysia harus ambil langkah persediaan lebih rapi ekoran krisis geopolitik kian memuncak ketika ini yang telah dibuktikan melalui konflik Russia-Ukraine serta yang bakal berlaku di antara China dan Taiwan.

Katanya, ia penting bagi memastikan Malaysia tidak dianggap lemah pada persepsi negara lain sekaligus mampu bertindak menjaga hak dan kedaulatan negara di Laut China Selatan.

“Ini adalah pendapat peribadi saya kerana kepentingan serta keselamatan rakyat dan negara ini keutamaan saya dan sebagai wakil rakyat, menjadi tanggungjawab saya untuk pastikan aspek ini terpelihara,” tegasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki hilang, disyaki dibaham buaya selepas bot karam di Sg Kg...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular