SHAH ALAM : Sabah FC tidak akan mengambil mudah pada pusingan ke-16 perlawanan kedua saingan Piala Malaysia bertemu UiTM FC di Stadium Likas Isnin ini.
Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, pasukan kendalian Ismail Ibrahim itu dilihat lebih banyak melakukan corak permainan ‘counter attack’ selain bermain secara bertahan.
“Kita tidak boleh ambil mudah pada perlawanan kedua di Likas nanti. Kalau kita lihat dari corak permainan UiTM yang melakukan corak permainan ‘Counter Attack’ kalau kita tidak menyempurnakan peluang di Sabah nanti kita akan dihukun dengan gol awal mereka, sudah tentu ini akan memberi semangat kepada UiTM.
“Selain itu, beberapa pemain masih mengalami kecederaan dan belum pulih. Barisan yang diturunkan tidak menunjukkan prestasi sebenar terutama apabila kita mendahului dengan dua gol kita sudah mula leka dan ini memberi peluang kepada UiTM. Ini harus kita perbaiki terutama apabila kita balik ke Kota Kinabalu nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas tamat perlawanan pertama menentang UiTM FC dengan keputusan 2-1.
Kim Swee berkata, meskipun berpuas hati dengan kemenangan yang dicapai secara keseluruhan namun beliau masih belum berpuas hati dengan apa yang dilakukan para pemain ya.
“Selain itu, kita ada sedikit kelemahan dibahagian serangan dimana kita mempunyai banyak peluang tapi tidak disempurnakan walaupun kita mengawal permainan tetapi kita harus mencipta peluang dan seterusnya menjaringkan gol jadi itu merupakan perkara yang perlu kita perbaiki selepas ini,” katanya.
Ketika ditanya sama ada pihak pengurusan menetapkan sasaran untuk saingan Piala Malaysia, Kim Swee berkata, tidak ada sebarang sasaran ditetapkan untuk saingan Piala Malaysia.
“Tidak ada sasaran ditetapkan untuk Piala Malaysia buat masa ini tetapi apabila kita menyertai mana-mana kejohanan sekali pun, kita ingin melangkah sejauh mana yang kita boleh.
“Jadi biar kita tumpukan dahulu dari satu perlawanan ke satu perlawanan lain,” katanya. – SABAH MEDIA/EAW